Home Semasa 311 individu ditahan ingkar PKP semalam – Ismail Sabri

311 individu ditahan ingkar PKP semalam – Ismail Sabri

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 1 Dis – Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 311 individu diatas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 306 individu telah dikompaun manakala 5 individu pula direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (97), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (75), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (69), rentas daerah/negeri PKPB tanpa kebenaran (30), aktiviti pusat hiburan (26) dan lain-lain (14),” katanya dalam kenyataan mengenai pelaksanaan PKP, hari ini.

Katanya, sebanyak 55,495 pemeriksaan telah dilaksanakan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Dalam masa yang sama, Ismail Sabri turut menjelaskan Operasi Benteng (Op Benteng) yang diketuai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama pasukan keselamatan serta agensi penguatkuasaan lain telah menahan 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas 3 bot/kapal dan sebuah kenderaan darat.

Sebanyak 278 sekatan jalan raya (SJR) turut dilaksanakan semalam yang melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), ATM dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) menerusi Op Penawar sebanyak 205 SJR, Op Benteng PDRM (59) dan Op Benteng Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) sebanyak 9 SJR.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” tambah kenyataan itu. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply