KUALA LUMPUR, 28 Nov – Kenyataan Setiausaha Pemuda DAP, Eric Teh Hoong Keat yang mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanggungjawab dan meminta maaf kepada penyokong Pakatan Harapan (PH) kerana memberi arahan untuk tidak meneruskan undi belah bahagi pada undian Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat pada Khamis lalu adalah tindakan yang keterlaluan.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor, Najwan Halimi berkata, tindakan Eric Teh yang turut mengugut agar partinya meninggalkan PH juga adalah tindakan tidak wajar.
“Sewajarnya pada waktu ini, usaha yang diikhtiarkan oleh Anwar mendapat sokongan dan kepercayaan penuh,
“Apatah lagi, Majlis Presiden PH sendiri telah memberikan kepercayaan itu kepada Anwar. Justeru, semua sayap dan pimpinan parti harus akur. Begitulah lazimnya disiplin asas beroganisasi,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.
Semalam, Eric Teh dalam kenyataan berkata, DAP perlu mempertimbangkan untuk memutuskan ‘berpisah’ dengan PKR dan menyusun semula barisan pembangkang sekiranya Anwar enggan meminta maaf.
“Anwar telah mengakui bahawa beliau telah memberi arahan supaya DAP dan PKR tidak menyokong usul undi belah bahagi Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat,
“Jadi, beliau perlu bertanggungjawab dengan sepenuhnya atas kesilapan beliau dan meminta maaf terhadap penyokong PH,” jelasnya semalam.
Terdahulu, Anwar turut mendedahkan, beliau telah meminta Presiden Parti Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guang Eng untuk tidak melakukan undi belah bahagi terhadap Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat untuk memberi peluang kepada kerajaan.
Pada masa yang sama, Najwan turut menyeru semua sayap Pemuda DAP dan setiausahanya agar tidak cepat lupa daratan dengan membuat kenyataan yang bukan-bukan sebelum merujuk kepada pemimpin tertinggi parti mereka sendiri.
“Kecelaruan komunikasi sebegini yang perlu dielakkan sama ada di dalam atau di luar parlimen,
“Adalah terlalu mudah dan tidak bertanggungjawab manakala disiplin diabaikan dan komunikasi bercelaru tetapi akibat buruknya sekali lagi terpaksa digalas oleh Anwar khasnya, dan PKR amnya,” tambahnya. –airtimes.my