Home Pertahanan dan Keselamatan Kastam rampas 11.3 juta rokok seludup

Kastam rampas 11.3 juta rokok seludup

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 25 Nov – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 11.3 juta batang rokok yang bernilai RM2.3 juta dengan nilai cukai sebanyak RM 7.7 juta yang dimuatkan dalam 4 buah lori di 3 lokasi berbeza sekitar Lembah Klang.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Sri Abdul Latif Abdul Kadir dalam kenyataan berkata, turut menahan 3 orang lelaki warganegara tempatan dan seorang lelaki warganegara asing berumur dalam lingkungan 32 hingga 42 tahun kerana disyaki memiliki barangan larangan import tersebut.

Beliau berkata, penahanan semua kenderaan tersebut telah dilakukan oleh pegawai JKDM melalui pemantauan dan penjejakan selama 2 hari di kawasan yang dikenal pasti.

“Hasil pemeriksaan terhadap 4 kenderaan tersebut telah menjumpai rokok pelbagai jenama yang disyaki barang larangan import atau barang belum lulus Kastam,

“Jumlah rampasan adalah sebanyak 11.3 juta batang rokok yang dianggarkan bernilai sebanyak
RM2.3 juta dengan jumlah duti dan cukai terlibat sebanyak RM7.7 juta,

“Siasatan awal mendapati modus operandi sindiket adalah memindahkan rokok daripada kontena ke dalam kenderaan jenis lori di satu kawasan yang tersembunyi sebelum diedarkan ke kawasan lain menggunakan jalan darat,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

Tambahnya, siasatan ke atas kontena tersebut sedang giat dilakukan dan dalang disebalik sindiket ini sedang dikesan.

Semua yang ditahan telah berjaya dituduh di Mahkamah Jalan Duta pada 20 November 2020 yang lalu.

Kes ini disiasat di bawah seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Pada masa yang sama, Abdul Latif menggesa orang ramai untuk membantu pihak Kastam dalam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

“JKDM turut menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan kepada pihaknya,” ujarnya. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply