Home Pertahanan dan Keselamatan Insiden Padang Besar: Tiga butir peluru dalam badan demi negara

Insiden Padang Besar: Tiga butir peluru dalam badan demi negara

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador hari ini mengesahkan 3 butir peluru masih di dalam badan salah seorang anggota Batalion ke-3 Pasukan Gerakan Am yang terlibat dalam insiden tembak-menembak pagi tadi.

Beliau menyatakan perkara tersebut dalam sidang media khas di Bukit Aman, hari ini.

“Saya dimaklumkan oleh pihak doktor bahawa terdapat 3 butir peluru di dalam badan Koperal Norihan A/L Tari,

“Salah satu peluru tersebut telah menembusi ususnya dan memerlukan pembedahan,” kata Ketua Polis Negara.

Menurut Hamid, beliau sempat meluangkan masa bersama anggota yang tercedera dalam insiden tembak-menembak dengan kumpulan penyeludup dari Thailand.

“Anggota terbabit dalam keadaan stabil dan begitu bersemangat,”ujar Hamid.

Menurut beliau, Norihan sempat meminta bantuan dari pos kawalan TS9 yang berkedudukan kira-kira 600 meter dari lokasi kejadian.

Koperal Baharuddin Ramli disahkan maut selepas berbalas tembakan dengan penyeludup di Padang Besar.

‘Tugas risikan’

Ketua Polis Negara mengesahkan Norihan bersama Koperal Baharuddin Ramli hanya bersenjatakan pistol Walther P99 kerana melaksanakan tugas risikan.

“Mereka tidak membawa senjata berat atau pun raifal kerana melaksanakan tugas risikan untuk mengesan aktiviti penyeludupan,

“Ini adalah selari dengan prosedur yang ditetapkan oleh PGA,”jelas Hamid.

Beliau menambah, penggunaan pistol sahaja adalah untuk memudahkan pergerakan anggota yang melakukan tugas risikan.

Ketika kejadian, Norihan dan Baharuddin telah melakukan tugas tersebut dengan menaiki motorsikal. Kedua-dua anggota meneruskan misi mereka dengan berjalan kaki melalui denai yang dipercayai lorong tikus digunakan oleh penyeludup.

“Semasa meneruskan perjalanan, mereka telah terserempak dengan kumpulan penyeludup dan kejadian tembak-menembak telah berlaku,

“Baharuddin telah melepaskan tembakan terhadap penyeludup dan mengalami kecederaan,

“Beliau sempat mengarahkan Norihan untuk pulang ke pos kawalan bagi meminta bantuan,”katanya lagi.

Hamid menambah, Norihan berjaya menaiki motorsikal dan tiba ke pos kawalan untuk meminta bantuan. Beliau sempat membunyikan hon motor dan memaklumkan kepada anggota yang bertugas bahawa satu kejadian tembak-menembak berlaku.

“Norihan kemudiannya dihantar ke hospital mankala pasukan bantuan bergegas ke tempat kejadian,

“Pasukan bantuan kemudiannya menemui Baharuddin yang telah rebah bersama pistolnya yang kehabisan peluru,”ujar Hamid.

Menurut laporan media, Baharuddin terkena 2 das tembakan di perut dan satu di dada. Beliau kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

Menurutnya, operasi mengesan oleh pasukan bantuan termasuk Komando VAT69 telah membawa kepada penangkapan seorang warga Thailand yang merupakan salah seorang daripada ahli kumpulan penyeludup.

Selain daripada itu, seorang lagi warga Thailand berjaya ditahan oleh pihak polis.

Salah seorang ahli kumpulan penyeludup yang berjaya diberkas oleh polis.

‘Walaupun gelap, mereka berjaya melawan’

Pada masa yang sama, Ketua Polis Negara turut memuji keberanian kedua-dua anggota PGA yang berani membalas tembakan oleh kumpulan penyeludup walaupun berada dalam keadaan gelap.

Tambahan pula, bilangan anggota penyeludup pada ketika kejadian jauh lebih ramai daripada anggota keselamatan yang berada di lokasi kejadian.

“Saya difahamkan oleh pihak polis Thailand bahawa mereka telah memberkas seramai 4 orang ahli kumpulan penyeludup yang terlibat dalam kejadian itu,

“3 daripada mereka mengalami kecederaan dengan 2 daripadanya serius. Seorang lagi berjaya ditangkap selepas siasatan dilakukan oleh pihak berkuasa Thailand,” jelas Hamid.

Beliau menambah, siasatan terhadap ahli kumpulan yang ditahan mendapati kejadian berlaku secara spontan di mana mereka terkejut dengan kehadiran anggota PGA ditempat kejadian.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador turun padang memeriksa lokasi kejadian.

‘Laluan tikus telah dikenalpasti’

Hamid turut mengesahkan kawasan yang diperiksa oleh kedua-dua anggota terbabit merupakan antara lokasi yang telah dikenalpasti sebagai laluan tikus penyeludup.

Menyentuh kehadiran Komando VAT69, beliau menjelaskan mereka telah dihantar awal bagi membantu pasukan PGA untuk memberkas kumpulan penyeludup terbabit.

“Kita telah menerima maklumat awal bahawa kumpulan terbabit mengaktifkan kegiatan mereka di kawasan terbabit,” jelasnya.

‘Mereka adalah anggota polis yang cemerlang’

Selain itu, Hamid turut menegaskan kedua-dua anggota PGA yang terlibat dalam kejadian itu mempunyai rekod pekerjaan yang baik.

“Mendiang Baharuddin telah berkhidmat selama 35 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pernah mengikut kursus Komando VAT69,

“Norihan pula telah berkhidmat selama 17 tahun. Kedua-dua anggota ini mempunyai rekod kerja yang baik,”ujarnya.

Beliau menambah, Batalion ke-3 PGA merupakan pasukan yang digeruni oleh pihak penyeludup.

“Saya dimaklumkan pasukan ini merupakan yang paling beramanah dalam melaksanakan tugas mereka di kawasan sempadan,

“Selain itu, mereka dikenali dengan sikap tegas dan tidak berkompromi dengan kumpulan penyeludup,” kata Hamid.

Beliau menambah, pasukan ini turut diketuai oleh Superintendan Rosman

Kegiatan penyeludupan ketum sering berlaku di kawasan sempadan Malaysia-Thailand. Foto: M Daim/Air Times

Kasman yang pernah menganggotai pasukan Komando VAT69.

 

“Saya berasa sangat beruntung kerana kawasan tersebut dikawal oleh pegawai-pegawai yang berpengalaman,” kata Ketua Polis Negara.

Selain itu, Hamid menegaskan pihaknya telah mendapat kerjasama yang baik dari pihak Polis Diraja Thailand.

“Mereka telah menghubungi pihak kita dan menyatakan kesediaan mereka untuk berkerjasama dengan PDRM bagi menyiasat kejadian ini,

“Pihak polis Thailand turut mengandakan usaha untuk memberkas ahli-ahli penyeludup lain yang sedang bersembunyi,” jelas Hamid yang mengesahkan seramai 6 orang penyeludup telah ditahan setakat ini.

‘Mereka akan terus diburu’

Ketua Polis Negara turut menjelaskan pihak Thailand akan menghantar ahli kumpulan penyeludup terbabit untuk didakwa di Malaysia.

Beliau turut mengesahkan PDRM sedang memburu ahli penyeludup yang terdiri daripada rakyat Malaysia.

“Siasatan terhadap ahli kumpulan penyeludup mendapati terdapat rakyat Malaysia yang terlibat dalam kegiatan ini,

“Selain itu, kita berjaya mengenal pasti kumpulan-kumpulan yang bergiat aktif di kawasan ini,

“Pihak kita akan melakukan tangkapan terhadap mereka dalam masa terdekat,”katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Negara telah berada di Padang Besar selepas menerima berita kejadian tembak-menembak di Padang Besar.

Dalam insiden berlaku kira-kira jam 3 pagi, Baharuddin bersama Norihan telah bertembung dengan kumpulan penyeludup yang terdiri daripada kira-kira 13 orang.

Salah seorang penyeludup ketum sedang menerima rawatan di Hospital Hatyai

Kejadian tersebut telah menyebabkan Baharuddin gugur ketika membalas tembakan sementara Norihan mengalami kecederaan parah.

Sementera itu, media Thailand melaporkan seramai 3 orang penyeludup telah ditahan polis negara itu ketika cuba mendapatkan rawatan di hospital.

Baharuddin, 54 tahun akan dikebumikan di Sungai Sampo, Negeri Sembilan. – airtimes.my

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply