Home Pertahanan dan Keselamatan Tambah aset untuk mantapkan rondaan sempadan negara – ESSCOM

Tambah aset untuk mantapkan rondaan sempadan negara – ESSCOM

by Bernama

KALABAKAN, 18 Nov – Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) kini dalam proses memperoleh aset logistik membabitkan kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV) dan motosikal scrambler bagi memantapkan rondaan serta kawalan pasukan keselamatan di sempadan negara di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM Dr Jamaluddin Mohd Ali berkata permohonan keperluan aset tambahan di darat itu telah dikemukakan melalui Kementerian Dalam Negeri sebelum ini dan diluluskan.

“Permohonan tersebut sudah diluluskan oleh pihak kerajaan secara sewaan dan ketika ini kita dalam proses menunggu ketibaan aset tambahan di darat itu sahaja.

“Kita memohon 18 unit kenderaan lasak ATV serta 10 motosikal scramble untuk kegunaan pasukan keselamatan di sempadan daerah ini memandangkan keadaan geografi yang berbukit-bukau serta dilitupi hutan tebal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semalam ketika melakukan tinjauan ke sempadan negara antara Serudong di Kalabakan, Sabah dan Simanggaris di Kalimantan Utara, Indonesia yang merupakan lokasi cadangan bagi pembinaan pos kawalan keselamatan.

Jamaluddin juga berkata ESSCOM mencadangkan agar pembinaan pos keselamatan itu dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

“Pembinaan pos berkenaan sebagai usaha membendung sebarang bentuk jenayah melibatkan kedua-dua negara terutama kemasukan pendatang haram dan penyeludupan,” katanya.

Beliau berkata maklumat yang diperoleh pasukan keselamatan mendedahkan bahawa terdapat banyak laluan tikus di sekitar kawasan itu yang digunakan tekong darat dan laut untuk melakukan jenayah rentas sempadan.

Katanya kawasan itu berpotensi menjadi laluan untuk penjenayah keluar masuk secara haram.- Bernama

 

 

Related Articles

Leave a Reply