Home Semasa Wan Azizah: Potong 50% elaun Pengerusi GLC,10% gaji PM dan Jemaah Menteri

Wan Azizah: Potong 50% elaun Pengerusi GLC,10% gaji PM dan Jemaah Menteri

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=e0a_D89iVZI[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 17 Nov – Ahli Parlimen yang dilantik menjadi Pengerusi mana-mana syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dikenakan pemotongan elaun serta yuran sebanyak 50 peratus sebagai tanggungjawab sosial korporat atau CSR kepada Tabung COVID-19.

Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut mencadangkan gaji Perdana Menteri dan anggota Jemaah Menteri dipotong 10 peratus sehingga akhir tahun 2021.

“Saya mencadangkan supaya elaun dan yuran pengerusi mana-mana Ahli Parlimen yang menjadi pengerusi mana-mana GLC, GLIC dikurangkan sebanyak 50 peratus,

“Pengurangan ini, bukan saja-saja, (tetapi) disalurkan sebagai tanggungjawab sosial korporat atau CSR kepada Tabung COVID-19. Sebab Ahli-Ahli Parlimen ini, telah bergaji pun,

“Kepemimpinan melalui teladan, (gaji) Perdana Menteri, Menteri Kanan, Menteri-Menteri, dan Timbalan Menteri, juga dipotong 10 peratus,” katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada masa yang sama, Wan Azizah turut berharap pihak-pihak tertentu tidak membuat sebarang kenyataan dengan mengugut bahawa pembayaran gaji penjawat awam pada tahun hadapan tidak dapat dibayar seandainya Belanjawan 2021 tidak diluluskan.

“Janganlah begitu, kerana kami tidak pernah mempertikaikan emolumen penjawat awam,

“Belanjawan 2021 mestilah inklusif, dan bukan eksklusif; yang komprehensif, dan bukan terhad atau sempit; dan Belanjawan yang perjuangkan kebajikan rakyat, pemulihan ekonomi negara, dan pembendungan efektif wabak COVID-19, itulah belanjawan yang kami sokong,” ujarnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply