[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=oDhH4-tUuzM[/embedyt]
LUMUT, 17 Nov – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah mengusir keluar sebuah bot nelayan Indonesia yang menceroboh perairan negara pada kedudukan 25 batu nautika tenggara Pulau Perak, petang semalam.
TLDM dalam satu kenyataan berkata, bot tersebut dikesan oleh KD LAKSAMANA TAN PUSMAH yang sedang melaksanakan Operasi Benteng (Op Benteng) Laut dan Op Pejarak.
“Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat 5 orang awak-awak warga Indonesia berada di atas bot tersebut,
“Hanya seorang sahaja didapati memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.
TLDM menambah, bot turut didapati membawa muatan ikan pelbagai jenis seberat 40 kilogram.
Semasa pengeledahan dilakukan, anggota TLDM memberi amaran kepada awak-awak Indonesia untuk tidak memasuki perairan Malaysia.
“Ini amaran terakhir, kalau dapat beritakan (kepada) semua sekali. Kalau ada kawan-kawan sekitar (perairan ini) pun, suruh mereka pulang ke (Indonesia),” kata anggota TLDM kepada nelayan Indonesia dalam satu video yang diterima oleh Air Times.
Selesai pemeriksaan, bot nelayan tersebut diusir dan diiring keluar dari perairan Malaysia.
TLDM menegaskan pihaknya terus memperkasakan Op Benteng dengan kehadiran kapal-kapalnya sepanjang masa.
“TLDM sentiasa memperkasakan Op Benteng dengan kehadiran kapal TLDM yang beroperasi 24 jam, 7 hari seminggu bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan bagi mengelakkan penularan pandemik COVID-19,” tambahnya. – airtimes.my