TAWAU, 16 Nov – Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) berjaya merampas 22,900 bungkus rokok seludup bernilai lebih RM 288,032.00 dalam Operasi Cegah (Op Cegah) Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di pantai Kampung Hidayat, Batu 4, Jalan Apas, semalam.
Komander ESSCOM, DCP Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, rampasan tersebut dilakukan oleh pasukan Tim Op Cegah yang diatur gerakkan ke lokasi selepas mendapat maklumat daripada radar Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mengesan pergerakan sebuah bot mencurigakan dari arah Pulau Sebatik menuju ke tebing laut Kampung Hidayat, Batu 4.
Menurutnya, 22 anggota yang terdiri daripada Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA), bersama Rejimen Renjer Diraja (RRD) dan Unit Risik Pasukan Polis Marin (PPM) telah digerakkan ke lokasi yang diketuai oleh ESSCOM.
“Apabila tiba dilokasi, terdapat sebuah bot laju memecut meninggalkan tebing laut sebelum melarikan diri menuju ke kawasan perairan sempadan,
“Hasil pemeriksaan terhadap bot tersebut mendapati beberapa longgokan bungkusan plastik berwarna hijau mengandungi bungkusan rokok seludup pelbagai jenama disyaki tidak bercukai,
“Antara jenis-jenis rokok seludup tidak bercukai yang berjaya dirampas termasuk 9,600 bungkus rokok jenama Primero, 10,200 bungkus rokok jenama Djarum Black dan 3,100 bungkus rokok jenama Surya Menthol Slim,
“Kesemua rokok terbabit dipercayai untuk pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan dilaman sosial milik ESSCOM.
Menurutnya, kesemua barang rampasan telah dibawa ke Balai Polis Tawau untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat dibawah Seksyen 135(d) Akta Kastam 1967.
“Pihak keselamatan ESSCOM akan terus memperketatkan kawalan di sempadan perairan negara dan daratan diseluruh daerah ESSZONE secara agresif dengan mengadaptasikan konsep “Show of Force,
“Komuniti pesisir pantai juga diingatkan supaya tidak bersubahat dengan tekong-tekong darat dan laut yang cuba mengambil kesempatan untuk menyeludup sama ada rokok ataupun PATI ke negara ini,
“Tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati ada pihak atau individu dalam kalangan komuniti yang bertindak bersubahat atau melindungi PATI termasuk bersekongkol dengan tekong-tekong darat dan laut,” ujarnya. –airtimes.my