Home Politik PKR henti tuduh Tun M halang usaha PH kembalikan mandat rakyat – PEJUANG

PKR henti tuduh Tun M halang usaha PH kembalikan mandat rakyat – PEJUANG

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 15 Nov – Tuduhan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang dikatakan cuba menghalang usaha Pakatan Harapan (PH) mengembalikan mandat rakyat adalah kenyataan yang gelojoh dan tidak berasas sama sekali.

Ketua Penerangan (Penaja) Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG), Ulya Aqamah Husamudin berkata punca adalah kerana terjadinya pengkhianatan Langkah Sheraton dari kem Datuk Seri Azmin Ali serta Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Jika Tun Mahathir mahu kekal sebagai Perdana Menteri sehingga hari ini, beliau boleh sahaja dengan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana beliau sebenarnya adalah calon Perdana Menteri PN,

“Namun, Tun Mahathir tidak bersetuju dengan pengkhianatan tersebut dan beliau bersedia dibuang dari parti yang beliau bina sendiri demi pertahankan mandat rakyat dan mengotakan janji kepada komponen PH,” kata Ulya Aqamah dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, jika Tun Mahathir tidak meletak jawatan pada masa itu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan kem Azmin tetap akan keluar dari PH serta tetap akan menyebabkan kerajaan PH jatuh.

Artikel Berkaitan: Tun M cuba gagalkan usaha PH untuk jadi kerajaan semula – PKR

Tambahnya, sewaktu Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan mempunyai jumlah sokongan yang mencukupi beliau sendiri memberitahu angka ini tidak termasuk PEJUANG.

“Hakikatnya PKR terlebih awal tidak mahu bekerjasama dengan pihak PEJUANG dan lebih memeranjatkan sanggup bersekongkol dengan UMNO termasuk beberapa ahli politik Kleptokrat,

“Bagaimana tuduhan dilemparkan kepada pihak Tun dan PEJUANG sedangkan pihak Anwar sendiri tidak membincangkan soal sokongan,” ujarnya.

Katanya, pihak pembangkang seharusnya berhenti berkelahi terutamanya mengenai perkara yang begitu trivial dan kecil.

Sehubungan itu, pembangkang perlu mencari titik tengah persamaan, gembleng usaha dan bekerjasama menolak Kerajaan yang dicuri dan bersekongkol dengan kleptokrat.

Semalam, Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mendakwa Tun Mahathir Mohamad cuba untuk mengkhianti serta menggagalkan usaha untuk mendapatkan semula kerajaan.

Sebelum ini, Tun Mahathir secara terbuka di dalam wawancara portal berita memdakwa Anwar bukan orang yang tepat untuk menjadi Perdana Menteri jika negara sedang berhadapan krisis kewangan seperti tahun 1977. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply