Home Pertahanan dan Keselamatan Tekong tempatan ditahan cuba seludup 13 PATI guna lori

Tekong tempatan ditahan cuba seludup 13 PATI guna lori

by Nurulhuda

BELURAN, 13 Nov – Tindakan seorang lelaki warga tempatan yang cuba menyeludup 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui lorong tikus gagal, apabila ditahan di jalan Kota Kinabalu ke Beluran, kelmarin.

Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, lelaki berusia 40 tahun itu ditahan ketika memandu sebuah lori bersama 13 PATI berkenaan dengan melalui lorong tikus bagi mengelakkan pemeriksaan di Road Check Point (RCP) Sapi Nangoh.

“Ketika kejadian, kira-kira jam 8.40 malam, bertindak atas maklumat kemasukan PATI, 6 anggota dari Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) telah menahan dan memeriksa sebuah lori berwarna hijau yang melalui lorong tikus (laluan Kota Kinabalu lama ke Beluran) dalam keadaan mencurigakan,

“Hasil pemeriksaan terhadap belakang lori berkenaan, anggota menemui 13 penumpang yang terdiri daripada 8 lelaki dan 5 perempuan. Kesemua mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya dalam hantaran di laman sosial ESSCOM.

Beliau berkata, kesemua PATI  yang berumur antara 9 bulan hingga 42 tahun termasuk tekong darat tersebut telah dibawa ke balai polis Beluran untuk tindakan lanjut.

“Turut disita sebuah lori yang digunakan dalam kejadian berkenaan yang dianggarkan bernilai RM100,000.00,” tambahnya.

“Ahmad Fuad berkata, ESSCOM dengan kerjasama semua agensi keselamatan yang terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan terus memperketatkan kawalan keselamatan di sempadan perairan dan daratan di seluruh daerah di ESSZONE,

“Ia termasuklah mengadakan rondaan dan pemantauan secara agresif termasuk mengadaptasikan konsep ‘show of force’ untuk menimbulkan rasa gerun bagi mengawal dan mengekang kemasukan PATI terutamanya daripada negara jiran dalam usaha untuk memutuskan rangkaian COVID-19 daripada merebak dibawa masuk ke negara ini melalui PATI,” ujarnya.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply