KUALA LUMPUR, 8 Nov – Kementerian Pengangkutan Malaysia hari ini mengesahkan satu siasatan terhadap nahas udara di Taman Melawati sedang dijalankan.
Menterinya, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong dalam satu kenyataan berkata, siasatan dibuat untuk mencari punca kemalangan.
“Tujuan utama penyiasatan dilaksanakan adalah untuk menentukan hal keadaan dan punca kemalangan dengan tujuan untuk menyelamatkan nyawa dengan mengelakkan berlaku kemalangan yang sama di masa hadapan,
“Oleh itu, penyiasatan yang dilaksanakan tidak bertujuan untuk membuktikan kesalahan atau liabiliti (not to the purpose to apportion blame or liability),” jelas Menteri Pengangkutan.
Beliau menambah, siasatan dibuat mengikut peratura antarabangsa yang memerlukan laporan siasatan awal kejadian siap dalam masa 30 hari.
Pada masa yang sama, beliau mengesahkan kemalangan terbabit berpunca dari pertembungan kedua-dua pesawat di udara.
“Dua helikopter ini sedang melakukan latihan penerbangan telah berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang bersama 4 orang krew,
“Kedua-dua helikopter ini dilaporkan bertembung sesama sendiri di udara yang menyebabkan sebuah helikopter terhempas dan sebuah lagi berjaya membuat pendaratan cemas di kawasan lapang berdekatan SJKT Taman Melawati,
“Insiden ini telah meragut 2 nyawa manakala 2 lagi sedang menerima rawatan,” ujarnya.
Terdahulu, penduduk di Taman Melawati dikejutkan dengan insiden sebuah helikopter terhempas selepas bertembung dengan sebuah helikopter lain di udara.
Video dan foto insiden turut tular di media sosial yang memaparkan keadaan helikopter yang rosak teruk. – airtimes.my