Home SemasaGlobal Israel derma kit ujian COVID-19 kepada Filipina sebagai bukti persahabatan

Israel derma kit ujian COVID-19 kepada Filipina sebagai bukti persahabatan

by M.Daim

MANILA, 7 Nov – Jabatan Pertahanan Filipina (Department of National Defense, DND) telah menerima sumbangan kit ujian COVID-19 dari Israel.

Menurut Jabatan Penerangan Filipina (PIA), sebanyak 10 ribu kit ujian diterima oleh negara kepulauan itu melalui inisiatif Kementerian Pertahanan Israel dan direktorat kerjasama pertahanan antarabangsa Israel, SIBAT.

Sumbangan disampaikan oleh Duta Israel ke Filipina, Rafael Harpaz kepada Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin N. Lorenzana dalam satu majlis di Pejabat DND, Khamis lalu.

Harpaz berkata, Israel dan Filipina merupakan dua buah negara rakan serta sekutu dalam bidang modernisasi ketenteraan.

“Dalam keadaan yang sukar, Israel dan Filipina perlu bergabung tenaga untuk menangani wabak COVID-19,” kata Harpaz dipetik oleh PIA.

Sumbangan ini juga merupakan sebahagian daripada bantuan Israel kepada tentera Filipina dalam usaha menangani penularan COVID-19.

Dalam majlis yang sama, kedua-dua pihaak melakukan perbincangan mengenai kerjasama pertahanan, perkongsian teknologi ketenteraan dan usaha memerangi ancaman pengganas.

Selain sumbangan kit ujian COVID-19, Israel turut menderma sejumlah pakaian pelindung diri (PPE) kepada petugas barisan hadapan yang terdiri daripada polis dan tentera Filipina.

Filipina merupakan negara di rantau ASEAN yang terjejas teruk akibat wabak membawa maut itu dengan jumlah kes jangkitan menghampiri paras 392 ribu. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply