Home Semasa Belanjawan naik, kes COVID-19 meningkat: 1,755 kes baru direkodkan

Belanjawan naik, kes COVID-19 meningkat: 1,755 kes baru direkodkan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 6 Nov – Malaysia merekodkan sebanyak 1,755 kes baharu positif COVID-19 sehingga jam 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan kes baharu itu sekali gus menjadikan jumlah tertinggi dicatatkan di negara ini semenjak wabak itu melanda negara.

“Jumlah kes hari ini melibatkan 3 kes import dan 1,752 kes penularan tempatan,” jelasnya dalam kenyataan, hari ini.

Kali terakhir angka tertinggi kes harian yang dicatatkan adalah 1,240 kes pada 26 Oktober lalu.

Beliau berkata, Sabah masih mencatatkan kes harian tertinggi pada hari ini dengan 1,199 kes baharu.

“Sebanyak 741 kes dikesan melibatkan Kluster PTS Tawau (372 kes), Kluster Penjara Sandakan (184 kes), Kluster Seberang Perai (162 kes), Kluster Tembok (10 kes), Kluster Penjara Kepayan (8 kes), Kluster Penjara Reman (3 kes), dan Kluster Benteng LD (2 kes),

“Negeri-negeri di Lembah Klang pula mencatatkan sebanyak 191 kes dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan mencatatkan sebanyak 59 kes positif pada hari ini,

“Kelima-lima negeri ini masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan menyumbang sebanyak 1,449 kes daripada keseluruhan kes positif COVID-19 pada hari ini, ” tambahnya.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 78 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 28 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, beliau menjelaskan 726 pesakit telah pulih sepenuhnya dan 2 kes kematian direkodkan pada hari ini.

“Kes kamatian ke-278 melibatkan seorang wanita berumur 67 yang telah disahkan meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent, Sabah,

“Bagi kes kematian ke-279 pula melibatkan seorang pesakit lelaki berumur 54 tahun di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah,” ujarnya.

Tambahnya, sebanyak 3 kluster baharu telah dikenal pasti hari ini yang melibatkan negeri Sabah, Selangor dan Perak.

Sehingga hari ini, seramai 38,189 orang telah disahkan mengidap wabak pandemik yang membawa maut itu. Manakala 26,380 kes telah disahkan pulih sepenuhnya.

Angka kes kematian pula kekas sebanyak 279 kes. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply