Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Zamrose dianugerahkan Beret Hijau Kehormat

Zamrose dianugerahkan Beret Hijau Kehormat

by Nurulhuda

MERSING, 5 Nov – Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain dianugerahkan Beret Hijau Kehormat, Lanyard Biru dan Benet Gerup Gerak Khas di Padang Kawad, Markas 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK), Kem Sri Iskandar, Mersing, hari ini.

Penganugerahan tersebut telah disempurnakan oleh Panglima 21 GGK, Mejar Jeneral Datuk Jamaluddin Jambi sempena lawatan ulung beliau selepas menerajui tampuk Pemerintahan Tertinggi Tentera Darat secara rasminya pada 11 Jun 2020 yang lalu.

Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam laman media sosialnya berkata, ketokohan, kewibawaan dan kecemerlangan Zamrose sebagai Panglima Tentera Darat Ke-28 menjadi asas penganugerahan tersebut.

“Komitmen beliau dalam menentukan kecemerlangan TDM, serta mendaulatkan pertahanan negara adalah tidak ternilai harganya dan merupakan sesuatu yang amat membanggakan TDM,

“Dalam aspek pembangunan Gerak Khas khususnya, PTD secara langsung dan tidak langsung telah banyak mencurahkan buah fikiran bagi mempertingkatkan keupayaan dan keunggulan Gerak Khas,” katanya.

Zamrose telah diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, Sultan dan Yang Dipertuan Bagi Negeri serta Jajahan Takluk Johor Darul Takzim selaku Kolonel Komandan Gerak Khas untuk dianugerahkan pemakaian Beret Hijau Kehormat berkenaan.

Pada majlis berkenaan, beliau turut dipersembahkan dengan demonstrasi kepakaran 21 GGK termasuklah demonstrasi Tempur Jarak Dekat.

Turut hadir adalah Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan TD, Mejar Jeneral Datuk Hamdan Ismail, Pegawai-Pegawai Kanan TDM serta Pegawai-Pegawai 21 GGK. -airtimes.my

Galeri Gambar :

 

Related Articles

Leave a Reply