KUALA LUMPUR, 2 Nov – Persidangan Dewan Rakyat minggu ini dipendekkan dan akan tamat pada jam 1 tengah hari ini ekoran seorang kakitangan Dewan Negara disahkan positif COVID-19.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen), Datuk Takiyuddin Hasan mengusulkan kepada Dewan Rakyat untuk memendekkan sesi perbahasan pada minggu ini selepas satu mesyuarat tergempar bersama ketua-ketua Whip parlimen setiap parti diadakan di bilik Yang Dipertuan Dewan Rakyat pada jam 10.30 pagi tadi.
“Tuan Yang Dipertua, mengikut Peraturan Mesyuarat 12(1), saya mohon mencadangkan bahawa mesyuarat ditangguhkan pada jam 1 petang sehingga jam 10, Selasa 3 November,” katanya semasa persidangan hari pertama Sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, sesi yang dipendekkan itu hanya akan dilakukan sebelum pembentangan Belanjawan 2021 pada Jumaat ini.
“Satu norma baharu perlu diambil susulan perkembangan terbabit dan mengambil kira lokasi bangunan parlimen yang terletak di dalam kawasan Segambut,
“Dengan syarat apa-apa yang dilakukan kerajaan dan dewan tidak menjejaskan hak Ahli Parlimen, untuk bertanya soalan, berbahas dan untuk mengundi dalam dewan ini,
“Keduanya, pihak Parlimen akan mengendalikan satu tatacara pentadbiran yang melibatkan catatan kehadiran Ahli Parlimen dan keluar masuk di dalam dewan,
“Ketua-ketua parti akan diberikan arahan daripada semasa ke semasa bagi memenuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Parlimen” tambahnya.
Takiyuddin berkata, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan risiko amat tinggi jika persidangan berlangsung dengan lama.
“Beberapa kakitangan Dewan Negara disahkan positif COVID-19 dan mereka adalah pegawai kepada Ahli Dewan Negara,
“Dijangka ada Ahli Dewan Negara yang kemungkinan positif kerana pegawai terbabit bekerja dengan mereka dan ada ahli keluarga,
“Saya rasa perlu Yang Berhormat dapatkan penjelasan daripada ketua whip yang bersetuju, yang perlu kita ubah sedikit, tempoh persidangan tidak ada persidangan sebelah petang,
“Tetapi KKM katakan lebih lama kita berada bersama dalam keadaan ini risikonya amat tinggi sekali, atas dasar itu kita cadangkan perkara ini di bawa ke sini tanpa sebarang prejudis,” ujarnya. –airtimes.my