Home Semasa 1,820 tahanan, 114 kakitangan pusat tahanan sementara Kota Kinabalu dikenakan PKPD

1,820 tahanan, 114 kakitangan pusat tahanan sementara Kota Kinabalu dikenakan PKPD

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 1 Nov – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikenakan di Pusat Tahanan Sementara Kota Kinabalu, Sabah berkuat kuasa mulai 3 sehingga 16 November depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD ini akan melibatkan seramai 1,820 tahanan dan 114 kakitangan pusat tahanan tersebut.

“Sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini telah mendengar permohonan dan cadangan daripada MKN Sabah mengenai keperluan untuk melaksanakan PKPD di Pusat Tahanan Sementara Kota Kinabalu, Sabah,

“Sehingga 30 Oktober lalu, seramai 261 tahanan serta kakitangan telah disaring dan seramai 56 orang tahanan didapati positif COVID-19,

“Bagi menyekat penularan COVID-19 dalam kalangan tahanan dan kakitangan, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di pusat tahanan tersebut,

“Seperti biasa, prosedur operasi standard (SOP) PKPD ini sama seperti SOP PKPD di penjara-penjara yang sebelum ini,” katanya dalam sidang media harian mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), pada hari ini.

Tambahnya lagi, kerajaan juga bersetuju untuk menamatkan PKPD Penjara Alor Setar berikutan tiada kes positif COVID-19 direkodkan dalam masa 7 hari.

“Kerajaan sebelum ini telah mengumumkan pelaksanaan PKPD Penjara Alor Setar bermula 5 Oktober 2020 sehingga 18 Oktober 2020 dan kemudiannya dilanjutkan lagi bermula 19 Oktober 2020 sehingga 1 November 2020,

“Saringan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga 1 November lalu, tiada lagi kes positif COVID-19 direkodkan dalam tempoh 7 hari terkini,

“Sehubungan itu, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD Penjara Alor Setar pada esok, 2 November 2020,” ujarnya. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply