Home Semasa COVID-19: 1,000 kes sembuh, tiada pertambahan kluster

COVID-19: 1,000 kes sembuh, tiada pertambahan kluster

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 30 Okt – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), mengesahkan Malaysia mencatatkan bilangan kes pulih COVID-19 tertinggi pada hari ini, apabila 1,000 pesakit wabak bekenaan telah sembuh sepenuhnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pada hari ini juga, tiada pertambahan kluster baharu dan kes kematian akibat wabak berkenaan.

Beliau mengesahkan, sebanyak 659 kes baharu dilaporkan hari ini dimana 1 kes melibatkan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dan ianya bukan warganegara Malaysia.

“Sabah mencatatkan sebanyak 529 kes dan negeri-negeri di Lembah Klang pula mencatatkan 70 kes daripada jumlah keseluruhan kes,

“Kesemua negeri ini telah menyumbang sebanyak 599 kes daripada jumlah harian kes positif COVID-19 secara keseluruhan. Kesemua negeri-negeri ini masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),

“Sebanyak 137 kes berkaitan kluster-kluster penjara dan pusat tahanan sementara 2 dilaporkan pada hari ini yang terdiri daripada Kluster Penjara Kepayan (26 kes) dan Kluster Rumah Merah (111 kes),” katanya dalam sidang media harian berkaitan COVID-19, hari ini.

Menurutnya, terdapat 83 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 19 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sehingga hari ini, seramai 31,548 orang telah disahkan menghidap wabak pandemik wabak yang membawa maut itu. Jumlah keseluruhan pesakit sembuh adalah 21,248 kes dan bilangan kes kematian kekal pada 294 kes. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply