Home Semasa PKPD dikenakan di 3 lokaliti daerah Kudat mulai 30 Okt ini

PKPD dikenakan di 3 lokaliti daerah Kudat mulai 30 Okt ini

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 28 Okt – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikenakan di 3 lokaliti daerah Kudat, Sabah bermula 30 Oktober sehingga 12 November ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 3 lokaliti tersebut adalah di Kampung Pengaraban, Kampung Tangjung Kapor dan Kampung Landung Ayang.

Ismail berkata, kerajaan Sabah telah membangkitkan isu peningkatan kes positif di 3 kampung tersebut.

“Mengambil kira peningkatan kes di ketiga-tiga lokaliti ini dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKPD di 3 lokaliti tersebut,

“PKPD bagi ketiga-tiga lokaliti ini merangkumi sebanyak 2,393 unit rumah yang melibatkan seramai 13,884 orang kampung,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ke-225 dan hari ke-141 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Katanya, prosedur operasi standard (SOP) PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini.

“Walau bagaimanapun, kedai runcit dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi sehingga 6 petang bagi memberi peluang kepada penduduk membeli barang keperluan asas,” ujarnya.

Tambahnya lagi, kerajaan juga bersetuju untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Labuan selama 14 hari lagi bermula 31 Oktober sehingga 13 November ini.

“Kerajaan sebelum ini telah mengumumkan pelaksanaan PKPB di seluruh Labuan bermula 17 Oktober sehingga 30 Oktober 2020,

“KKM masih meneruskan saringan secara bersasar kepada penduduk dan sehingga kini masih terdapat peningkatan kes positif yang dikesan dalam kalangan penduduk di Labuan,” katanya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply