Home Diskusi Pecat Azmin dan Hamzah jika Muhyiddin mahu betulkan keadaan

Pecat Azmin dan Hamzah jika Muhyiddin mahu betulkan keadaan

by Liew Chin Tong

Untuk memecahkan sebarang kebuntuan, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin wajar menggunakan Parlimen sebagai wadah kerjasama, rundingan dan urus tadbir bersama dengan pihak pembangkang demi kebaikan negara di saat krisis Covid-19. Bagi melancarkan proses tersebut, adalah wajar bagi Muhyiddin untuk mengorbankan Hamzah Zainuddin dan Azmin Ali.

Sepanjang dekad lampau, institusi diraja telah melaksanakan budi bicara yang memihak kepada demokrasi berparlimen.

Pertama pada Oktober 2015, Majlis Raja-raja telah memperlihatkan rasa tidak senang terhadap Rang Undang-undang Majlis Keselematan Negara, dan Yang di-Pertuan Agong ketika itu tidak menyatakan perkenan Baginda terhadap RUU terbabit. Ia merupakan isyarat jelas bahawa Raja-raja Melayu tidak bersedia menerima pertambahan kuasa Perdana Menteri dalam soal keselamatan negara.

Kedua, beberapa Raja Melayu memainkan peranan penting di sebalik tabir bagi memastikan peralihan kuasa yang lancar selepas pilihan raya, daripada Barisan Nasional kepada Pakatan Harapan pada 9 dan 10 Mei 2018.

Ketiga, keputusan bersejarah semalam oleh Majlis Raja-raja untuk menolak keputusan Kabinet bagi melaksanakan perintah darurat akan diingati oleh kerajaan-kerajaan akan datang sebagai isyarat untuk tidak mencuba memusatkan kuasa secara autoritarian.

Bagaimanakah negara boleh bergerak maju sekarang?

Kerajaan tidak sewajarnya takut kepada Parlimen dan kerajaan tidak boleh melayan pembangkang sebagai musuh negara.

Dengan layanan saksama terhadap Ahli Parlimen pembangkang, melayan mereka secara adil seperti anggota ‘backbencher’ dari segi sumber dan akses untuk memberi input dasar, dengan suatu perjanjian ‘confidence and supply’; kerajaan Muhyiddin berpeluang untuk mengubah krisis ini menjadi suatu kelahiran baharu buat demokrasi berparlimen di Malaysia.

Bagi melancarkan proses ini, Muhyiddin juga wajar mempertimbangkan untuk memecat Hamzah Zainuddin dan Azmin Ali, sebagai bukti niat ikhlas kepada semua parti agar kita dapat jalan terus secara dwipartisan.

Sejak Parlimen bersidang setengah hari pada 18 Mei 2020, saya telah memberitahu rakan dan lawan bahawa Muhyiddin Yassin perlu berhenti bergantung kepada Hamzah Zainuddin sebagai ketua operasi politiknya. Ini kerana Hamzah tidak memahami realiti politik pasca kekalahan Umno yang mengakhiri hegemoni satu parti itu pada PRU Mei 2018.

Hamzah sedang cuba mewujudkan semula dominasi satu parti, seolah-olah Muhyiddin mempunyai majoriti dua-pertiga Parlimen.

Antara sidang Mac dan Mei, Hamzah cuba membeli Ahli Parlimen pembangkang. Hanya segelintir sahaja yang mungkin mempertimbang untuk lompat di saat majoriti kerajaan begitu tipis. Tiada siapa yang berkeyakinan bahawa kerajaan Muhyiddin akan kekal. Adalah amat kurang bijak bagi beliau untuk mengandaikan bahawa Ahli-ahli Parlimen ini akan lompat. Setelah setengah tahun sejak bulan Mac, hanya Ahli Parlimen Lubok Antu yang lompat.

Kemudian Hamzah mencuba nasib di Sabah. Penyudahnya adalah kemenangan yang memakan begitu banyak sumber, sedangkan langkah Sabah itu adalah langsung tidak perlu. Seperti Napoleon atau Hitler membuka medan kedua dengan menyerang Rusia dan akhirnya memakan korban di kedua-dua medan. Hamzah telah memaksa Umno sampai ke jalan buntu, dan Muhyiddin terpaksa berdepan masalah di peringkat nasional apabila Zahid Hamidi cuba menarik UMNO keluar daripada kerajaan. Satu-satunya kejayaan Muhyiddin – mengawal Covid-19 – langsung dmalapkan akibat kempen Sabah.

Langkah mengisytiharkan perintah darurat khabarnya adalah satu lagi usaha Hamzah yang disokong oleh Azmin. Saya mendengar tentang idea menggantung parlimen dua minggu sebelum ia diajukan. Saya juga membaca kenyataan Presiden MIC S Vigneswaran, yang mungkin telah diarahkan supaya menguji sentimen awam. Tetapi saya masih terkejut apabila Muhyiddin menurut sahaja rancangan terbabit dan mempersembahkannya kepada Yang di-Pertuan Agong.

Kesilapan pertimbangan di pihak Muhyiddin amat memeranjatkan. Seolah-olah beliau membuat satu demi satu salah langkah sejak awal tahun apabila beliau memutuskan untuk membuang Pakatan Harapan dan memilih sebuah ‘kerajaan Melayu’.

Hamzah juga merupakan arkitek cubaan gagal merampas kuasa pada Oktober 2019 (yang cuba membuang DAP dan Amanah daripada kerajaan PH), dengan persekongkolan bersama Azmin Ali dan Hihsammuddin Hussein. Beliau juga merupakan perencana utama Langkah Sheraton, dengan bantuan Azmin.

Supaya kerajaan Muhyiddin boleh terus bergerak, beliau mesti menerima hakikat bahawa beliau tidaklah mentadbir dengan majoriti dua-pertiga dan Malaysia bukan lagi negara satu parti. Peranan Perdana Menteri ialah untuk membina konsensus antara sekutu dan mewujudkan rasa kerjasama dengan pihak pembangkang, terutamanya di saat krisis Covid-19 yang memerlukan kerjasama dwipartisan.

Muhyiddin mesti komited untuk berhenti menganiaya pihak pembangkang dan menerima bahawa beliau adalah Perdana Menteri untuk seluruh rakyat Malaysia, dan bukan sahaja Bersatu; yang menjengkelkan sekutunya Umno, apatah lagi pihak pembangkang.

Bagi membina semangat kerjasama dwipartisan ini, Muhyiddin wajar meminta Hamzah Zainuddin dan Azmin Ali untuk meletakkan jawatan dan memikul tanggungjawab kerana memberi nasihat salah kepada Yang di-Pertuan Agong dan juga kerana mewujudkan persekitaran politik toksik yang telah menyebabkan Kabinet membuat keputusan untuk perintah darurat.

Dengan ketiadaan Hamzah dan Azmin daripada Kabinet, kerjasama antara komponen Perikatan akan beransur pulih, dan suasana yang lebih harmoni dalam kerjasama dwipartisan bersama pihak pembangkang di saat krisis Covid-19 dapat dibentuk.

*Penulis merupakan bekas Timbalan Menteri Pertahanan dan Pengarah Strategik DAP. Kenyataan ini turut dimuatkan di laman web beliau.

PENAFIAN:

Air Times News Network tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.

 

Related Articles

Leave a Reply