Home Semasa PKPD Penjara Pokok Sena dilanjutkan hingga 7 November

PKPD Penjara Pokok Sena dilanjutkan hingga 7 November

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 23 Okt – Kerajaan hari ini mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Penjara Pokok Sena, Kedah akan dilanjutkan selama 14 hari lagi sehingga 7 November 2020.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, saringan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga semalam mendapati masih terdapat kes positif dalam kalangan banduan serta kakitangan penjara tersebut.

“Sehubungan itu, atas cadangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD Penjara Pokok Sena selama 14 hari lagi,

“Ia bagi memastikan rantaian COVID-19 diputuskan sepenuhnya di dalam Penjara Pokok Sena terutama di kalangan kakitangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri menjelaskan, PKPD di Penjara Tawau dan Kuarters Penjara Taman Ehsan akan ditamatkan pada 25 Oktober 2020.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas KKM mengesahkan tiada kes aktif COVID-19 dilaporkan di Penjara Tawau dan hanya 2 kes di kesan di Kuarters Penjara Taman Ehsan dan kedua-duanya sedang menerima rawatan.

“Sehingga 21 Oktober 2020, KKM telah membuat 1,250 saringan di Penjara Tawau manakala 1,196 saringan kakitangan di kuarters Taman Ehsan,

“Kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Penjara Tawau dan Kuarters Penjara Taman Ehsan Tawau seperti mana yang telah dijadualkan,

“Walau bagaimanapun, lokaliti ini masih tertakluk di bawah pelaksanaan PKPB bagi seluruh negeri Sabah,” tambahnya.

Sebelum ini, Penjara Tawau dan kuarters itu diletakan didalam arahan PKPD sejak 11 September dan dilanjutkan sehingga sehingga Ahad ini. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply