Home Semasa COVID-19: 3 kluster baharu dikesan hari ini

COVID-19: 3 kluster baharu dikesan hari ini

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 23 Okt – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan terdapat 3 kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 3 kluster tersebut adalah Kluster Samudera di Sabah, Kluster Palma dan Kluster Jaya yang dikesan di Selangor.

“Bagi Kluster Samudera, kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-22612 telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 20 Oktober lalu dan telah dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent,

“Saringan kontak rapat telah mengenal pasti 7 lagi kes positif COVID-19. Sehingga 12 tengah hari ini, sejumlah 8 individu telah disaring di mana kesemuanya dikesan positif COVID-19 termasuk 2 kes baharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Manakala Kluster Palma melibatkan daerah Gombak dan Hulu Selangor, Selangor serta daerah Kepong, Kuala Lumpur.

“Kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-20399 telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 17 Oktober lalu dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh,

“Saringan kontak rapat telah mengenal pasti 12 lagi kes positif COVID-19. Sehingga 12 tengah hari ini, sejumlah 101 individu telah disaring, di mana 13 kes dikesan positif COVID-19 termasuk 9 kes baharu dan 88 individu masih menunggu keputusan,” ujarnya.

Seterusnya Kluster Jaya melibatkan daerah Sepang, Selangor dan daerah Seremban, Negeri Sembilan.

“Kes indeks bagi kluster ini telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan di tempat kerja pada 20 Oktober lalu dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Saringan kontak rapat telah mengenal pasti 8 lagi kes positif COVID-19. Sehingga 12 tengah hari ini, sejumlah 48 individu telah disaring di mana 9 kes dikesan positif COVID-19 termasuk 3 kes baharu dan 39 individu masih menunggu keputusan,” tambahnya.

Menurut Dr Noor Hisham, sebanyak 710 kes baharu telah dikesan pada hari ini.

“Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 24,514 kes,

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 8,416 kes dan telah diasingkan serta diberi rawatan,” katanya.

Jelasnya, daripada 710 kes baharu pada hari ini, Kuala Lumpur melaporkan 1 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

“Kes tersebut melibatkan bukan warganegara yang memasuki Malaysia dari negara Nepal,” ujarnya.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply