Home Semasa Sultan Selangor dukacita masalah air berterusan, susahkan rakyat

Sultan Selangor dukacita masalah air berterusan, susahkan rakyat

by Air Times News Network

SHAH ALAM, 20 Okt – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita dengan keluhan dan nasib rakyat yang kini sedang bergelut dengan wabak COVID-19, terpaksa pula berdepan dengan masalah gangguan bekalan air yang terus berlaku.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Muhamad Munir Bani dalam satu kenyataan berkata baginda pada 8 Sept lalu telah menghantar surat kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berhubung masalah gangguan bekalan air yang sering melanda Selangor.

“Dalam surat tersebut, baginda telah memberikan nasihat serta beberapa syor dan pandangan untuk mengatasi masalah bekalan air bersih tetapi nampaknya tidak memberi kesan kerana masalah sama terus berlaku dan berulang sehingga menyusahkan rakyat yang baginda kasihi,” katanya.

Selain itu, baginda telah banyak kali menulis surat kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri berhubung isu bekalan air semenjak tahun 2009 lagi supaya masalah ini jangan dipolitikkan dan diatasi dengan segera kerana ia adalah merupakan keperluan asas kehidupan rakyat.

Menurut surat tersebut, Muhammad Munir berkata Sultan Sharafuddin turut menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes baharu positif COVID-19 di Selangor dan seluruh negara yang telah mencapai jumlah tertinggi sejak bulan Mac 2020.

“Susulan perkembangan terbaharu ini, baginda menyeru rakyat agar terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan tidak ingkar dengan arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Nasional (MKN),

“Sultan Selangor amat menghargai usaha para doktor dan jururawat serta petugas barisan hadapan yang bersungguh-sungguh untuk memberi rawatan kepada pesakit-pesakit COVID-19,

“Oleh yang demikian, janganlah membebankan petugas barisan hadapan kerana baginda mendapat tahu terdapat ramai rakyat yang masih tidak mematuhi arahan dan melanggar SOP yang telah ditetapkan,” ujarnya.

Pada masa sama, Muhamad Munir berkata baginda turut menasihati rakyat supaya terus berada di rumah serta tidak keluar jika tiada keperluan mendesak selain sentiasa memakai pelitup muka apabila berada di tempat-tempat awam.

“Baginda meminta individu-individu yang pernah pergi ke lokasi-lokasi yang berisiko atau kawasan yang dikategorikan sebagai zon merah, hendaklah melaporkan segera kepada pusat kesihatan terdekat untuk melakukan saringan dan tidak menyembunyikan status kesihatan masing-masing,

“Tegas baginda lagi, fokus ketika ini adalah untuk memastikan risiko jangkitan dapat dikurangkan dan seterusnya menghapuskan penularan wabak COVID-19 di Malaysia,” kata kenyataan itu. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply