Home PolitikPAS /PPBM / LAIN Kem Tun M kemuka usul undi tidak percaya kepada Muhyiddin

Kem Tun M kemuka usul undi tidak percaya kepada Muhyiddin

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 16 Okt – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama 4 lagi Ahli Parlimen daripada Parti Pejuang Tanah Airku (PEJUANG) sudah mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dalam Sidang Dewan Rakyat akan datang.

Ketua Penerangan Penaja PEJUANG, Dr Maszlee Malik berkata, keputusan ini diambil kerana kegagalan Muhyiddin mentadbir kerajaan sewaktu pandemik COVID-19 dan juga keraguan terhadap bilangan majoriti yang dimilikinya.

“Adalah dengan ini dimaklumkan bahawa keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pusat Penaja Pejuang pada 15 Oktober 2020 telah memutuskan agar kelima-lima ahli perlimen Pejuang membawa usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri,

“Kelima-lima Ahli Parlimen Pejuang yang telah menghantar usul undi tidak percaya tersebut kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Harun adalah Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad; Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah; Ahli Parlimen Seri Gading, Datuk Dr Sharuddin Mat Salleh dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam notis tersebut, mereka memohon majlis membawa satu usul dan mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Muhyiddin sabagai  Ahli Parlimen Pagoh tidak mempunyai keyakinan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat di bawah Peraturan Mesyuarat 26 (1) yang dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27 (3) Peraturan Mesyuarat-Mesyuarat Dewan Rakyat. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply