KUALA LUMPUR, 14 Okt – Seramai 1,780 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diatur gerak bagi membantu pihak berkuasa dalam menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melalui Op Penawar.
Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan berkata, kesemua anggota ATM tersebut membantu dalam penugasan sekatan jalan raya (SJR) dan rondaan menggunakan kenderaan pelbagai guna (Mobile Patrol Vecicle).
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM menegaskan akan terus meningkatkan kesiagaan dan komitmen ATM dalam membantu negara menangani situasi pandemik COVID-19 terutama di kawasan-kawasan terjejas.
Menurutnya, ATM telah mengaturgerakkan seramai 621 anggota di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula semalam.
“Bagi PKPB dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersyarat (PKPDB) di Sabah, seramai 165 anggota telah diaturgerakan terutamanya Tawau, Semporna, Tambunan, Keningau dan Lahad Datu,
“Di Kedah, ATM telah mengerakkan seramai 73 anggota tertumpu kepada penugasan SJR dan rondaan MPV serta kawalan keselamatan di sekitar kawasan Penjara Pokok Sena,” jelasnya dalam kenyataan pada Rabu.
MK ATM menjelaskan, kesemua penugasan di seluruh negara turut melibatkan rondaan pematuhan di lokasi tumpuan awam seperti di pasar umum, premis perniagaan dan pasaraya.
“Bantuan penugasan ini diaturgerakkan mengikut penugasan semasa dan akan ditambah mengikut keperluan dari semasa ke semasa,”ujarnya.
Dalam kenyataan yang sama, Affendi menjelaskan, seramai 12 pegawai dan 60 anggota sokongan perubatan di bawah Kor Kesihatan Diraja (KKD) serta kelengkapan bagi Hospital Medan di Tawau akan berlepas pada Sabtu ini.
“Kesemua mereka akan ditugaskan di hospital berkenaan selama 3 bulan dan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),
“Hospital Medan yang akan beroperasi di Kompleks Sukan Tawau ini mempunyai kapasiti 100 katil termasuk 4 katil ICU yang akan memberi rawatan khusus kepada kes-kes selain COVID-19 bagi membolehkan Hospital Tawau memberikan fokus kepada perkhidmatan rawatan bagi kes COVID-19,” tambahnya.