KUALA LUMPUR, 13 Okt – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini menegaskan partinya telah mempertimbangkan untuk akan menarik diri dari menyokong Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata demikian di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selepas menghadiri mesyuarat tergempar UMNO, hari ini.
“Kita akan memberi syarat baharu kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi meneruskan kerjasama,
“Ianya akan dibuat secara perjanjian bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin,” kata Setiausaha Agung UMNO.
Beliau menambah, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membincangkan isu tersebut.
“Walaupun Perdana Menteri sedang menjalani kuarantin, kita akan menggunakan kaedah lain untuk berbincang dengan beliau,
“Sekiranya syarat tersebut ditolak, UMNO akan melakukan Mesyuarat Majlis Tertinggi penuh pada Sabtu ini untuk memutuskan tindakan lanjut,” jelasnya.
Pertimbangan untuk menarik balik sokongan terhadap PN dan mengemukakan syarat sokongan baharu merupakan salah satu daripada 5 perkara yang diputuskan dalam mesyuarat tergempar UMNO yang diadakan semenjak awal malam tadi.
Mesyuarat tergempar UMNO diadakan selepas Presiden Parti Keadilan Rakyat (Keadilan), Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Pertemuan selama 25 minit itu adalah bertujuan untuk mempersembahkan bilangan Ahli Parlimen yang menyokong Ahli Parlimen Port Dickson untuk membentuk kerajaan baharu.

Kenyataan media Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Ahmad Maslan berkata, pihaknya telah mengadakan 2 siri mesyuarat malam tadi iaitu dengan Perwakilan UMNO Negeri kecuali Sabah, dan Majlis Tertinggi.
Selain mempertimbangkan untuk menarik diri dari PN, mesyuarat tersebut turut mencadangkan mendaftarkan Muafakat Nasional sebagai satu gabungan politik yang sah.
“UMNO akan terus berjuang demi kepentingan rakyat dalam menangani wabak COVID-19,
“Kami turut berpandangan bahawa kestabilan politik sangat penting dan pertumbuhan ekonomi mesti ditingkatkan,” ujar Ahli Parlimen Pontian.
Beliau menambah, tarikh-tarikh Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian dan Perhimpunan Agung UMNO telah ditetapkan.
“Sebarang keputusan UMNO lakukan adalah untuk manfaat rakyat, agama, bangsa dan negara,” tegasnya.
Dalam pada itu, Ahmad Maslan menyatakan keputusan yang dibuat adalah sebulat suara meskipun tiada wakil UMNO Sabah dalam mesyuarat itu kerana wabak COVID-19.
“Saya rasa Bung Mokhtar (pengerusi UMNO Sabah) tidak mempunyai masalah dengan keputusan ini meskipun dia tidak hadir,” jelasnya lagi.
Pada masa yang sama, Ahmad Maslan menolak bahawa UMNO menyokong Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baharu. – airtimes.my