Home Politik Anwar tak serahkan senarai Ahli Parlimen sokong beliau – Istana Negara

Anwar tak serahkan senarai Ahli Parlimen sokong beliau – Istana Negara

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 13 Okt – Pihak Istana Negara hari ini menegaskan Presiden Parti Keadilan Rakyat (Keadilan), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengemukakan senarai Ahli Parlimen yang didakwa memberikan sokongan kepada beliau.

“Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang 25 minit ini Anwar Ibrahim telah mengemukakan jumlah Ahli-ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau,

“Walau bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan senarai nama Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut,

“Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah telah menasihati Anwar Ibrahim untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah bagi mempersembahkan senarai ahli parlimen menyokong beliau pada hari ini di Istana Negara.

Menurut beliau, pertemuan antara Ahli Parlimen Port Dickson dengan Agong berlangsung selama 25 minit.

Anwar Ibrahim hadir ke Istana Negara pada pukul 10.25 pagi tadi untuk menghadap Agong bagi mempersembahkan kepada baginda mengenai sokongan Ahli Parlimen terhadap beliau.

“Saya telah mempersembahkan kepada Baginda mengenai majoriti kukuh dan meyakinkan dari Ahli Parlimen yang menyokong,

“Baginda akan meneliti dokumen yang saya telah persembahkan,” kata Presiden Keadilan semasa sidang media selepas menghadap Agong di Hotel Le Meridien, hari ini.

Permohonan Anwar untuk menghadap telah diperkenankan pada 22 September lalu namun tertangguh kerana Agong sedang gering dan mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply