Home Pertahanan dan Keselamatan ATM buka hospital medan di Tawau

ATM buka hospital medan di Tawau

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 10 Okt – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menubuhkan Hospital Medan ATM di Tawau bagi melaksanakan bantuan sokongan untuk merawat kes-kes selain COVID-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ATM melalui Kor Kesihatan Diraja (KKD) akan membantu Hospital Tawau dalam menangani kes-kes berkaitan pembedahan truma, kecemasan, wad bersalin dan lain-lain bantuan perubatan.

“Hari ini sidang khas mendengar pembentangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai keperluan menambah fasiliti perubatan bagi menangani situasi di Sabah berikutan jangkaan peningkatan kes positif COVID-19 di negeri itu,

“Sehubungan itu, ATM telah bersetuju untuk mengaktifkan Hospital Medan ATM di Tawau,

“Hospital medan ini adalah hospital yang diwujudkan di luar hospital, bukan di dalam bangunan hospital seperti yang sedia ada,

“Mungkin dibuat di dalam bangunan tertentu, mungkin didalam dewan atau di dalam khemah, ” katanya dalam sidang media mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pemulihan (PKP) yang disiarkan secara langsung di laman sosial Kementerian Pertahanan, hari ini.

Beliau menjelaskan, hospital medan tersebut akan mempunyai 100 katil pelbagai wad dengan kekuatan seramai 8 Pegawai perubatan dan 54 anggota lain-lain pangkat (LLP) yang terdiri daripada 1 Komander, 5 doktor pakar, 3 pegawai perubatan dan lain-lain kakitangan.

“Hospital medan ini diwujudkan agar hospital di Tawau lebih fokus merawat pesakit-pesakit COVID-19,” tambahnya.

Selain itu, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga akan melaksanakan misi penerbangan secara harian ke Sabah bagi membantu KKM dalam urusan logistik.

“Misi penerbangan ini termasuklah urusan membawa kakitangan perubatan serta membawa sampel saringan swab test ke makmal di Semenanjung,” tambahnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply