Home Semasa Asrama pekerja Tropicana dikenakan PKPD mulai 12 Okt ini

Asrama pekerja Tropicana dikenakan PKPD mulai 12 Okt ini

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 10 Okt – Kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan diperketatkan (PKPD) di asrama pekerja Tropicana Golf Club & Country Resort di Petaling Jaya, berkuatkuasa jam 12.01 malam 12 Oktober ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perintah itu dikenakan selama 14 hari susulan 5 pekerja di premis berkenaan yang dikesan postif COVID-19.

Beliau berkata, PKPD ini perlu bagi membolehkan ujian saringan dilaksanakan ke atas 500 pekerja dibuat dengan sebaik mungkin.

“Pelaksanaan PKPD ini bagi membendung jangkitan dan penularan COVID19 dalam kalangan penghuni asrama pekerja-pekerja tersebut serta membolehkan pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan sepanjang tempoh itu,

“Dengan pelaksanaan perintah ini, semua penghuni dikehendaki mematuhi SOP yang ditetapkan termasuklah larangan keluar masuk ke dalam asrama berkenaan,” katanya dalam sidang media mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pemulihan (PKP) yang disiarkan secara langsung di laman sosial Kementerian Pertahanan, hari ini.

Ismail Sabri menambah, PKPD yang dilaksanakan itu hanya melibatkan asrama pekerja sahaja dan bukannya keseluruhan kawasan Tropicana Golf & Country Resort.

“Hanya asrama pekerja sahaja yang dikenakan PKPD, manakala kawasan perumahan dan rumah kelab di situ tidak terlibat,” jelasnya. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply