Home SemasaGlobal Gereja kurun ke-19 dibedil: Armenia, Azerbaijan saling menuduh

Gereja kurun ke-19 dibedil: Armenia, Azerbaijan saling menuduh

by M.Daim

BAKU, 9 Okt – Sebuah gereja besar yang dibina pada kurun ke-19 menjadi mangsa terbaharu dalam konflik Armenia dan Azerbaijan.

Ghazanchetsots Holy Savior Cathedral di Shusha mengalami kerosakan akibat terkena bedilan roket, semalam.

Armenia menuduh serangan terhadap katedral terbabit didalangi oleh Tentera Azerbaijan namun tuduhan itu ditolak oleh Baku.

Sebelum ini, Azerbaijan menuduh Armenia bertanggungjawab dalam melancarkan serangan roket terhadap kompleks bersejarah Imamzadeh pada 4 Oktober lalu.

Ruang dalaman gereja yang mengalami kerosakan akibat serangan roket di zon konflik Armenia-Azerbaijan.

“Azerbaijan adalah amat berbeza dengan Armenia. Mereka (Armenia) sengaja menyerang kawasan tapak sejarah dan keagamaan seperti yang berlaku pada kompleks Imamzadeh di Ganja,

“Tentera kami tidak sekali-kali akan mensasarkan serangan terhadap kompleks bersejarah dan keagamaan,” kata Kementerian Pertahanan Azerbaijan dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Ketua Penerangan Kerajaan Armenia, Ovannes Movsisyan dalam akaun media sosialnya berkata, beberapa orang wartawan tercedera akibat serangan terhadap katedral pada pagi 8 Oktober.

Konflik bersenjata antara Armenia dan Azerbaijan yang berlarutan hampir 2 minggu itu dilihat mula merebak ke luar kawasan konflik Nagorno-Karabakh.

Nagorno-Karabakh menjadi perebutan antara kedua-dua negara telah menyaksikan beberapa siri pertempuran pada tahun 2014, 2016 dan Julai lalu. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply