Home Semasa 2 daerah di Sabah, 1 kawasan Kedah dikenakan PKPD mulai 11 Oktober

2 daerah di Sabah, 1 kawasan Kedah dikenakan PKPD mulai 11 Oktober

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 9 Okt – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikenakan di 6 lokaliti di Semporna, satu di Kunak dan di Penjara Pokok Sena, Kedah berkuatkuasa 11 Oktober ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 6 lokaliti di Semporna itu membabitkan Kampung Bangau-Bangau, Kampung Panji, Kampung Air, Kampung Selamat, Kampung Simunul dan Kampung Pinggir Bakau manakala satu lokaliti di Kunak iaitu Kampung Pangkalan.

“Sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini bersetuju mengenakan PKPD di Semporna dan Kunak membabitkan 35,643 penduduk.

“Ini berikutan cadangan MKN Sabah mengenai situasi lokaliti baharu diklasifikasikan sebagai zon merah ekoran berlakunya peningkatan kes mendadak,” katanya semasa Sidang Media Khas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan yang disiarkan secara langsung di Facebook Kementerian Pertahanan, hari ini.

Beliau berkata, semua penduduk di kawasan terlibat tidak dibenarkan keluar daripada rumah masing-masing dan kesemua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup kepada pengguna.

“Semua sekolah, masjid, tempat ibadat dan aktiviti sosial tidak dibenarkan bagi membolehkan saringan bersasar dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),

“Selain itu, semua sekolah, masjid dan rumah ibadat lain ditutup sepanjang tempoh ini termasuk aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya tidak dibenarkan,

“Sektor ekonomi turut ditutup dan kerajaan negeri Sabah bersetuju mengagihkan bekalan makanan di 7 lokaliti terbabit yang akan dikoordinasi oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana,

“Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pegawai yang diberi kuasa, akan mengawal seluruh kawasan terlibat,” jelasnya.

Pada masa yang sama, Ismail Sabri berkata, KKM hari ini mengesahakn terdapat peningkatan kes positif COVID-19 membabitkan kakitangan penjara dan keluarga, anggota polis dan petugas kesihatan di Penjara Pokok Sena.

“Setelah berbincang dengan kerajaan negeri Kedah, kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan PKPD di kawasan Penjara Pokok Sena termasuk kuarters kakitangan selama 14 hari berkuatkuasa jam 12.01 tengah malam, 11 Oktober 2020 sehingga 24 Oktober 2020,

“Jumlah penghuni yang terlibat adalah seramai 3,262 tahanan dan 587 kakitangan,” ujarnya.

Menurut beliau, pelaksanaan PKPD ini adalah bagi membendung jangkitan dan penularan COVID-19 dalam kawasan tersebut serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply