Home Pertahanan dan Keselamatan Maritim Malaysia tahan bot Vietnam, hasil rampasan bernilai RM1.5 juta

Maritim Malaysia tahan bot Vietnam, hasil rampasan bernilai RM1.5 juta

by Bernama

CHUKAI, 8 Okt – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan 22 awak-awak termasuk tekong, dan merampas sebuah bot, hasil tangkapan serta diesel dianggarkan bernilai RM1.5 juta.

Pengarah Zon Maritim Kemaman Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, bot tersebut ditahan pada pukul 10.40 pagi Selasa lalu, pada jarak 128 batu nautika daripada Kuala Kemaman.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua awak-awak termasuk tekong yang berusia 17 hingga 54 tahun, gagal mengemukakan lesen bot dan sebarang dokumen pengenalan diri, serta tiada kebenaran melakukan aktiviti penangkapan ikan di Perairan Malaysia.

“Kesemua mereka yang ditahan telah dibawa balik ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk menjalani proses saringan COVID-19, sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, dan jika sabit kesalahan tekong boleh didenda sehingga RM6 juta dan awak-awak boleh didenda sehingga RM600,000.- Bernama

Related Articles

Leave a Reply