Home Semasa Segera kurangkan kesesakan penjara – Liew Chin Tong

Segera kurangkan kesesakan penjara – Liew Chin Tong

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 4 Okt – Ahli Dewan Negara, Senator Liew Chin Tong menegaskan kesesakan dalam penjara perlu ditangani dalam membendung penularan wabak COVID-19.

Menurut beliau, budaya norma baharu perlu diperluaskan dalam aspek pengurusan penjara dan pusat tahanan untuk mengawal penularan wabak serta membentuk pengurusan sistem koreksional yang lebih berkemanusiaan.

“Penularan Covid-19 dari Sabah mula dikesan pada 1 September 2020 dalam kalangan tahanan lokap polis Lahad Datu dan enam kes di penjara Tawau dan dinamakan sebagai Kluster Benteng LD di Lahad Datu, Sabah,

“Sehingga 3 Oktober 2020, Kluster Benteng LD telah merebak sehingga 934 kes keseluruhan yang dilaporkan Kementerian Kesihatan. Hal ini menjadikan kluster tersebut sebagai antara penyumbang terbesar kepada peningkatan jumlah kes Covid-19 di Malaysia,” katanya.

Beliau menambah, Kluster Benteng LD masih berada dalam zon berisiko disamping dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

PKPD yang dilaksanakan di Penjara Tawau dan Kuarters Penjara Taman Ehsan telah dilanjutkan sehingga 9 Oktober ini.

Beliau menambah, Kluster Tembok yang berlaku di Kedah baru-baru ini perlu diberikan perhatian kerana ianya melibatkan penjara dan turut menyebabkan kematian.

“Kluster Tembok yang melibatkan penjara di Kedah merupakan kluster kedua tertinggi di Malaysia dengan 414 jumlah keseluruhan kes sehingga 3 Oktober,

“Penularan ini telah menyebabkan seorang kakitangan penjara meninggal dunia, iaitu kes kematian ke-135 pada 30 September 2020. Virus Covid-19 berkemungkinan besar telah merebak di seluruh bangunan penjara,” jelas beliau lagi.

Chin Tong menambah, isu penularan wabak COVID-19 di beberapa Depo Tahanan Imigresen turut memerlukan perhatian dari pihak berwajib.

“Penularan Covid-19 juga telah berlaku di beberapa Depo Tahanan Imigresen (DTI) seperti DTI Bukit Jalil, DTI Semenyih, dan DTI Sepang yang melibatkan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan kakitangan imigresen yang bertugas,

“Ini menunjukkan penularan Covid-19 telah berlaku lebih awal di penjara mahupun DTI dan kian meningkat sehingga hari ini, disebabkan tiada iltizam politik dalam menguruskan kesesakan penjara,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan kerajaan perlu melakukan perubahan secara besar-besaran dalam pengurusan tahanan dan banduan secepat yang mungkin.

“Ini memastikan penjarakan fizikal dapat dipatuhi dalam penjara dan pusat tahanan,” tegasnya.

Beliau menambah, seramai 73,000 tahanan ditempatkan di penjara yang hanya boleh menampung 52,000 tahanan.

“Jika penjarakan fizikal dilaksanakan secara tegas untuk mencegah penularan COVID-19, sistem penjara kita tentunya hanya dapat menampung jumlah tahanan yang lebih kecil,

“Tindakan seperti mempertimbangkan hukuman khidmat masyarakat atau pembebasan bersyarat bagi mereka yang disabit kesalahan ringan ini wajar dilaksanakan bagi mengurangkan penyebaran Covid-19 dalam penjara,

“Kesesakan penjara di Malaysia terjadi juga disebabkan cara kita mengendali kes-kes pesalah dadah. Sebanyak dua pertiga tahanan adalah berkait dengan kes dadah. Untuk penggunaan dadah, mereka sebenarnya boleh dirawat di pusat serenti dan bukan dianggap sebagai penjenayah,” katanya.

Senator menambah, norma baharu bermaksud perlu pendekatan baharu yang berkesan perlu diambil oleh semua pihak.

“Jika kerajaan tidak dapat menangani penularan virus ini dalam penjara dengan lebih serius, akan berlaku peningkatan kes Covid-19 di penjara dan DTI dan ia meletakkan risiko yang tinggi kepada pegawai bertugas serta tahanan itu sendiri,” tegas Chin Tong. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply