Home PolitikBarisan Nasional Kerjasama politik rugikan UMNO, sila kembali ke pangkal jalan – Tok Mat

Kerjasama politik rugikan UMNO, sila kembali ke pangkal jalan – Tok Mat

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 1 Okt – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menunjukkan bahawa strategi dan kerjasama politik yang UMNO meterai tidak menguntungkan parti.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini menegaskan kerjasama tersebut juga semakin memencilkan peranan UMNO di Sabah.

“Daripada sebuah parti yang menguasai Sabah selama 27 tahun, UMNO waktu ini hanya pemain politik terpencil dalam gabungan Gabungan Rakyat Sabah (GRS),

“Apa yang berlaku di Sabah memerlukan UMNO memikirkan semula pendekatan politiknya. Jika Sabah dijadikan sandaran, kelangsungan, pengaruh dan keterlihatan UMNO akan terus terjejas dalam jangka masa pendek dan akhirnya melemahkan UMNO dalam jangka waktu Panjang,” katanya.

Tambahnya, pengorbanan UMNO memberikan kerusi terkuatnya kepada parti tertentu telah menjejaskan kekuatan parti secara signifikan.

“Lebih menyedihkan, UMNO terpaksa berhadapan dengan calon bebas yang ditaja oleh pihak berkepentingan untuk melemahkan parti,

“Janji yang dimeterai berkaitan potfolio kabinet pun hampir dimungkiri,

“UMNO tidak boleh membiarkan episod pilihanraya Sabah menjadikan kedudukannya seperti kata pepatah, ‘biar alah sabung, asal menang sorak’,” ujarnya.

Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata telah tiba masanya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO memberikan pedoman dan hala tuju yang jelas kepada parti dan semua ahli UMNO.

“Tentang bagaimana kita (UMNO) harus meneruskan kerjasama kita dengan saingan politik kita,

“Satu konsensus politik yang tegas harus dihasilkan, untuk meredakan keresahan, ketidakpuasan hati dan rasa marah ahli terhadap cara UMNO diperlakukan dalam PRU Sabah,” tegasnya.

Menurutnya, menuju masa depan, UMNO mesti berhenti bernostalgia bahawa kerjasama politik melalui “langkah Sheraton” adalah demi menyelamatkan negara.

“Episod itu telah berakhir. Episod seterusnya ialah bagaimana UMNO akan mengemudi negara ini, memberikan kepimpinan kepadanya dan mencipta masa depan Malaysia yang lebih baik melalui Barisan Nasional (BN) dan bukannya platform politik lain,

“Kita akan dinilai dengan apa yang boleh kita tawarkan kepada Malaysia. Bukan betapa besarnya pengorbanan kita untuk parti tertentu atau kelangsungan Perikatan Nasional (PN),

“Jika kita terpaksa bersendiri bersama PAS dalam Muafakat Nasional dan BN serta parti komponennya dalam menghadapai PRU akan datang, maka putuskan sedemikian dengan segera, agar kita dapat menyediakan diri,” kata kenyataan itu lagi.

Selain itu, Mohamad menyeru mulai saat ini, UMNO perlu kembali ke landasan sebenar perjuangannya.

“Kusut dihujung, balik lah kepangkal. Dan marilah kita bekerja bersungguh-sungguh, membangunkan semula UMNO agar ia menjadi wadah yang dipercayai dan di dukung oleh bangsa Melayu dan rakyat Malaysia,” ujarnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply