Home Semasa COVID-19: 2 kematian, 1 kluster baharu dikesan

COVID-19: 2 kematian, 1 kluster baharu dikesan

by M.Daim

PUTRAJAYA, 30 Sept – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan terdapat 2 kes kematian akibat wabak COVID-19.

Kedua-dua kes kematian melibatkan rakyat tempatan yang mempunyai latar belakang masalah kesihatan.

Kes kematian ke-135 dilaporkan di Kedah sementara kes ke-136 di Tawau, Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut mengesahkan terdapat 1 kluster baharu dikesan pada hari ini di Kedah.

Menurut beliau, kes indeks kluster Tembok merupakan kes kematian ke-135 yang dilaporkan pada hari ini.

“Kes indeks mula mengalami gejala sejak 21 September 2020. Pada 28 September 2020 kes mengalami sesak nafas dan telah dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah,

“Saringan terhadap beliau mendapati pesakit positif COVID-19,” kata Noor Hisham dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, seramai 2 kontak rapat pesakit telah didapati positif sementara 166 lagi individu sedang menunggu keputusan.

Sementara itu, KKM mengesahkan sebanyak 89 kes baharu dengan 86 kes penularan dalam negara sementara 3 lagi merupakan kes import.

Sabah mencatatkan bilangan kes tertinggi pada hari ini iaitu 35 kes.

Pada masa yang sama, seramai 28 pesakit telah disahkan sembuh dan dibenarkan pulang.

Sehingga kini, bilangan kes jangkitan COVID-19 di negara ini adalah sebanyak 11,224 kes dengan 9,967 daripadanya dilaporkan sembuh. Angka kematian pula adalah 136 kes. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?