Home Politik Hajiji rombak jawatan Bung Moktar ke portfolio lain

Hajiji rombak jawatan Bung Moktar ke portfolio lain

by Nurulhuda

KOTA KINABALU, 29 Sept – Ketua Menteri Sabah ke-16, Datuk Hajiji Mohd Noor mengumumkan pertukaran portfolio bagi Ketua Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin daripada portfolio Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah ke portfolio Kerja Raya.

Beliau berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan, Datuk Seri Masidi Manjun pula akan menyandang jawatan sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan serta Menteri Kewangan 2.

“Tiada masalah (pertukaran portfolio). Cuma saya ingin Datuk Masidi membantu saya kerana latar belakang beliau yang berpengalaman dalam bidang kewangan dan ekonomi,

“Saya memerlukan beliau untuk membantu kerajaan (menyelesaikan) isu COVID-19 dan keadaan ekonomi yang tidak berapa baik akibat pandemik ini,” katanya pada sidang media di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Negeri Sabah, hari ini.

Pada masa yang sama, Hajiji menegaskan kerajaan baharu ini akan terus menumpukan usaha dalam membendung penularan wabak pandemik COVID-19 serta pemulihan ekonomi di negeri ini.

“Saya memohon semua pihak agar terus bersatu demi kepentingan rakyat untuk membawa Sabah ke arah maju jaya,

“Cabaran utama bagi kita adalah untuk membendung penularan wabak COVID-19 dan menangani impikasinya,

“Marilah berganding bahu bekerjasama merealisasikan untuk mewujudkan negeri Sabah yang maju dan rakyat yang berkemajuan,”ujarnya.

Terdahulu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah itu dan telah mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Sabah ke-16 di hadapan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri Sabah.

Bung Moktar dan Masidi Manjun antara 3 Timbalan Ketua Menteri dalam Kebinet baharu kerajaan pimpinan Hajiji yang turut mengangkat sumpah jawatan pagi tadi. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply