Home Politik Sebulat suara Hajiji Ketua Menteri Sabah yang baharu

Sebulat suara Hajiji Ketua Menteri Sabah yang baharu

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 28 Sept – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini sebulat suara membuat keputusan untuk mencalonkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor sebagai Ketua Menteri Sabah baharu.

Hajiji yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah mengesahkan perkara tersebut dalam satu sidang media bersama ADUN PN, Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) di The Magellan Hotel hari ini.

“Saya ingin memaklumkan bahawa GRS yang terdiri dari PN, BN dan PBS telah pun bersetuju bersama-sama untuk kita membentuk kerajaan negeri yang baharu,

“Saya difahamkan esok pagi kita angkat sumpah, jadi inilah mandat rakyat yang telah diberikan kepada kami, kami akan tunaikan tanggungjawab kepada rakyat untuk mempastikan Sabah terus maju ke depan,” katanya.

Beliau juga menyatakan kerajaan baharu ini akan terus membela rakyat dan akan sedaya upaya melakukan yang terbaik terutama sekali menunaikan tanggungjawab mengikut aku janji atau manifesto yang telah dilancarkan.

Manakala ketika ditanya mengenai barisan kabinet, beliau berkata akan diputuskan setelah KM baharu angkat sumpah.

Sementara itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata persetujuan ini dibuat atas dasar kesedaran dan keyakinan bahawa kerajaan baharu yang akan ditubuhkan ini mampu untuk memulihkan semangat rakyat yang selama ini telah hilang disebabkan pemerintahan kerajaan dahulu yang tidak prihatin kepada rakyat.

“Jadi memang satu tanggungjawab yang besar untuk kerajaan negeri ini pada masa akan datang,

“Selesai sahaja Hajiji dinobatkan sebagai Ketua Menteri Sabah, kita akan memulakan langkah kita untuk memastikan rakyat di bawah mendapat perhatian kerajaan sedia ada, dan semua rakyat tidak lagi main politik,’’ ujarnya.

Turut hadir, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Setiausaha Agong PBS, Datuk Jahid Jahim.

Sementara itu, Bahagian Media dan Komunikasi Korporat Jabatan Penerangan Negeri Sabah dalam satu kenyataan berkata majlis mengangkat sumpah bagi jawatan ketua Menteri Sabah yang baru akan diadakan jam 10.30 pagi esok di Istana Negeri Sabah. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply