Home Semasa Agong selesai jalani rawatan di IJN

Agong selesai jalani rawatan di IJN

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 28 Sept – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah selesai menjalani rawatan keracunan makanan dan intervensi serta dinasihatkan menjalani rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN).

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Al-Sultan Abdullah dijadualkan berangkat pulang bersemayam di Istana Negara dalam masa terdekat setelah selesai menjalani rawatan susulan ini.

Menurutnya, rawatan keracunan makanan bermula apabila Al-Sultan Abdullah dimasukan ke IJN pada malam 21 September 2020 (Isnin).

“Manakala, rawatan intervensi pula dilakukan susulan penimejan MRI pada Selasa menunjukkan kecederaan yang dialami oleh Baginda ketika bersukan,

“Rawatan intervensi pada sendi-sendi lutut dan buku lali Al-Sultan Abdullah berlangsung dengan jayanya pada Khamis dan Baginda kini berada dalam keadaan stabil serta tidak membimbangkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ekoran daripada rawatan intervensi ini, Baginda telah dinasihatkan untuk menjalani rawatan susulan dengan pengawasan rapi pasukan Pakar Perubatan IJN.

“Al-Sultan Abdullah amat tersentuh hati dengan keprihatinan rakyat terhadap keafiatan Seri Paduka Baginda dan menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh rakyat yang mendoakan kesejahteraan Seri Paduka Baginda,” katanya.

Baginda turut menasihati rakyat supaya menjaga kesihatan masing-masing dan sentiasa berwaspada serta mematuhi ketetapan oleh kerajaan berikutan situasi semasa penularan COVID-19 di negara yang semakin meningkat. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply