Home Pertahanan dan Keselamatan COVID-19: PDRM tahan 523 individu ingkar PKP

COVID-19: PDRM tahan 523 individu ingkar PKP

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 27 Sept – Jumlah tangkapan individu yang ingkar mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meningkat apabila mencatatkan 3 angka semula, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 523 individu ingkar PKP ditahan semalam berbanding hanya 78 individu pada Jummat.

Menurutnya, bilangan berkenaan merangkumi 483 individu yang telah dikompaun dan 40 pula direman.

“Semalam (26 September 2020), Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 523 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP. Daripada jumlah itu, seramai 483 individu telah dikompaun manakala 40 direman,

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti dalam pub dan kelab malam (356), penjarakan fizikal (105), tidak memakai pelitup muka (38), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (20), dan tangkapan pendatang asing tanpa izin (4),” katanya dalam kenyataan pada hari ini.

Beliau turut menjelaskan Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM telah membuat 45,847 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pada masa yang sama, Ismail Sabri turut mengesahkan seramai 75 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditahan dan 3 kenderaan darat yang digunakan turut dirampas dalam Operasi Benteng (Op Benteng), semalam.

“Operasi Benteng (Op Benteng) yang dilaksanakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM, dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) adalah untuk mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu dari dibolosi pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi mengekang jenayah rentas sempadan,

Selain itu, operasi bersepadu yang mendapat kerjasama dari Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan agensi-agensi lain juga adalah untuk mengekang penularan wabak COVID-19 di dalam negara,” tambahnya.

Beliau turu menjelaskan, sebanyak 98 sekatan jalan raya (SJ) Op benteng telah dilaksanakan yang melibatkan PDRM (76 SJR), AKSEM (10 SJR), dan ATM (12 SJR). –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply