Home Semasa PRN Sabah: Jumlah keluar mengundi 41 peratus –SPR

PRN Sabah: Jumlah keluar mengundi 41 peratus –SPR

by Nurulhuda

KOTA KINABALU, 26 Sept – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan peratusan pengundi yang keluar menjalankan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah sebanyak 41 peratus setakat jam 12 tengah hari ini.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, proses pengundian PRN Sabah hari ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku. Pengundi juga mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan antara 70 hingga 75 peratus pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka sehingga pusat pengundian ditutup sepenuhnya pada jam 5 petang ini.

“Untuk satu jam pertama selepas pusat mengundi dibuka ialah 11 peratus diikuti jam kedua 22 peratus. Oleh itu, kita nampak dia purata peratusan yang keluar mengundi setiap jam ialah 10 ke 11 peratus,

“Sehubungan itu, saya menyeru para pengundi untuk keluar mengundi kerana ada lebih kurang empat jam lagi sebelum pusat mengundi ditutup,” katanya selepas membuat lawatan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hwa dan SMK Sanzac di Sembulan, hari ini.

Sebanyak 2,540 saluran di 741 pusat mengundi dibuka di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan rakyat Sabah memilih kerajaan baharu pada PRN ke-16. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply