Home Pertahanan dan Keselamatan Elemen perisikan dan teknologi berjaya cegah pencerobohan PATI

Elemen perisikan dan teknologi berjaya cegah pencerobohan PATI

by M.Daim

PORT DICKSON, 26 Sept – Elemen perisikan dan penggunaan teknologi berjaya mengekang kegiatan penyeludupan serta pencerobohan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di kawasan sempadan, kata Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

“Kedua-dua elemen ini berjaya membantu Tentera Darat Malaysia (TDM) untuk melakukan tangkapan terhadap PATI dan penyeludup sepanjang operasi di kawasan sempadan,” katanya semasa sidang media di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), semalam.

Kejayaan yang dicapai dengan menggunakan kedua-dua elemen ini telah berjaya mengurangkan aktiviti tersebut di kawasan sempadan.

“Pencapaian kita di kawasan sempadan melalui kedua-dua elemen ini telah menjadi salah satu faktor cegah rintang kepada PATI dan penyeludup untuk membuat onar di sempadan kita,” tambah Zamrose.

Menurut beliau, kedua-dua elemen ini adalah penting kerana ianya dapat membantu TDM melakukan kawalan yang lebih baik terutamanya di kawasan titik panas di sempadan.

Ini terutamanya di kawasan sempadan Sabah dan Sarawak.

Beliau menjelaskan kawasan sempadan dikedua-dua negeri itu adalah luas.

Namun begitu, pengoperasian kawalan sempadan di Sabah adalah sedikit berbeza dengan Sarawak yang mempunyai kawasan daratan sepenuhnya.

“Di kawasan Pantai Timur Sabah, kawalan tidak sahaja dilakukan oleh pihak TDM. Ianya melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk cabang perkhidmatan lain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta agensi lain,” jelas Zamrose. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply