Home Semasa COVID-19: Individu pulang dari Sabah wajib jalani saringan mulai esok

COVID-19: Individu pulang dari Sabah wajib jalani saringan mulai esok

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 26 Sept – Individu yang pulang dari Sabah diwajibkan menjalani ujian saringan COVID-19 dan menjalani perintah pengawasan serta pemerhatian di rumah (HSO) bermula esok sehingga 10 Oktober ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan berkata, saringan tersebut dilakukan ekoran peningkatan kes dan kluster COVID-19 di negeri Sabah yang masih berterusan serta 4 daerah telah dikenalpasti sebagai zon merah.

“Ia adalah juga bagi memantau risiko penularan jangkitan dalam kalangan individu yang pulang dari negeri terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kesemua mereka yang menjalani perintah HSO akan dipakaikan gelang kuarantin bermula dari tarikh ketibaan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) sehingga keputusan makmal diperolehi.

“Semua individu tersebut wajib memuat turun dan mendaftar aplikasi MySejahtera serta daftar masuk menggunakan aplikasi ini setibanya di PMA negara,

“Mereka perlu menjalani saringan gejala jangkitan saluran pernafasan dan ujian saringan pengesanan COVID-19 sejurus tiba di PMA,

“Sekiranya terdapati individu yang perlu meneruskan perjalanan ke rumah masing-masing dengan menaiki kenderaan awam seperti teksi dan kereta Grab, surat kebenaran untuk ke alamat yang ditetapkan akan diberikan pada hari tersebut,” ujarnya.

Tambahnya, sekiranya mereka mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan dalam tempoh 14 hari dari tarikh pulang, individu tersebut perlu menjalani saringan ulangan bagi COVID-19.

“Tempoh pelaksanaan langkah pencegahan dan kawalan penularan jangkitan COVID-19 ke atas individu yang baru pulang dari Sabah akan disemak dari semasa ke semasa,

“Berdasarkan penilaian risiko penularan jangkitan pada masa tersebut dan maklumat mengenai sebarang perubahan berkaitannya akan dimaklumkan kepada umum,” tambahnya.

Dr Noor Hisham menjelaskan, saringan ke atas individu (warganegara dan bukan warganegara) yang pulang dari Sabah ini dikecualikan daripada caj ujian COVID-19.

Terdahlu, Dr Noor Hisham telah mengesahkan 82 kes baharu COVID-19 telah dilaporkan hari ini dan ia menjadikan jumlah kumulatif kes tersebut di Malaysia adalah sebanyak 10,769 kes.

“Daripada 82 kes baharu tersebut, 3 kes melibatkan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara iaitu Yaman, Bangladesh dan Filipina,

“Sabah terus mencatatkan peningkatan sebanyak 64 kes yang melibatkan 33 kes dari Kluster Benteng Lahad Datu, Kluster Bangau-Bangau (24 kes), saringan bergejala (3 kes),

“Manakala, kes saringan petugas kesihatan di PMA pulang dari Semenanjung, kes Influenza-Like Illnes (ILI) di Klinik Kesihatan Tawau dan saringan kemasukan ke Hospital Likas masing-masing mencatatkan 1 kes,

“Selain itu, 15 kes positif COVID-19 juga dikesan di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Sehingga hari ini, tiada pertambahan kes kematian dilaporkan dan angka kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 133 kes. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply