Home Pertahanan dan Keselamatan Tentera siap sedia bantu polis hadapi sebarang kemungkinan di Sabah

Tentera siap sedia bantu polis hadapi sebarang kemungkinan di Sabah

by M.Daim

PORT DICKSON, 25 Sept – Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain hari ini menegaskan anggota Tentera Darat Malaysia sentiasa bersiap sedia membantu pihak Polis Diraja Malaysia di Sabah bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“Anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) sentiasa bersiap sedia untuk membantu Polis Diraja Malaysia untuk menghadapi apa-apa kemungkinan yang akan berlaku di Sabah,

“Walaupun tiada ancaman, kita kena beringat air yang tenang jangan disangka tiada buaya,” kata Panglima Tentera Darat semasa sidang media di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), hari ini.

Menurut beliau, TDM telah mengaturgerak 160 anggotanya untuk membantu penugasan di kawasan-kawasan yang telah diletakkan bawah Perintah Kawalan Diperketatkan.

“Ini merupakan penambahan kepada bilangan anggota yang telah ditugaskan untuk melakukan kawalan,

“Semasa melaksanakan operasi, mereka dikehendaki untuk mematuhi peraturan dan standard prosedur operasi sedia ada seperti sanitasi serta penggunaan pelitup muka,” katanya.

Zamrose menambah, TDM turut melaksanakan pelbagai operasi di kawasan Sabah bagi memastikan kawasan sempadan tidak mudah dibolosi oleh penceroboh dari negara jiran.

“TDM juga memastikan pulau-pulau di perairan Sabah berada dalam kawalan kita,” ujarnya.

Terdahulu, Zamrose hadir menyempurnakan acara Perbarisan Sempena 100 Hari Pemerintahan Panglima Tentera Darat ke-28. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply