Home Semasa Saya masih Perdana Menteri yang sah – Muhyiddin

Saya masih Perdana Menteri yang sah – Muhyiddin

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 23 Sept – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih berdiri teguh dan beliau adalah Perdana Menteri yang sah.

Muhyiddin berkata dakwaan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau sudah memperolehi majoriti yang kukuh untuk membentuk kerajaan, perlu dibuktikan melalui proses dan kaedah yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Saya mengambil maklum kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan,

“Dakwaan ini hendaklah dibuktikan menurut proses dan kaedah yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan. Tanpa melalui proses tersebut, kenyataan Datuk Seri Anwar hanyalah dakwaan semata-mata,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin memohon supaya rakyat bertenang menghadapi situasi ini.

“InsyaAllah, isu ini akan ditangani dengan baik menurut proses undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

Presiden PKR itu dalam sidang media khas hari ini berkata telah memperolehi majoriti yang kukuh dan menyakinkan untuk membentuk kerajaan baharu. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply