Home Pertahanan dan Keselamatan Op Benteng: APMM tahan kapal tangki ceroboh perairan negara

Op Benteng: APMM tahan kapal tangki ceroboh perairan negara

by Nurulhuda

JOHOR BAHRU, 22 Sept – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor telah menahan sebuah kapal tangki dengan muatan minyak mentah kerana berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan 4.5 batu nautika tenggara Tanjung Piai, semalam.

APMM Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, penahan tersebut dibuat pada jam 12 tengah hari semalam oleh bot peronda APMM yang sedang melaksanakan Operasi benteng (Op Benteng) di peraiaran berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati kapal yang berdaftar dari negara Singapura itu gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh oleh Pengarah Laut Malaysia,

“Kapal tersebut dikendalikan oleh seorang nakhoda berusia 51 tahun serta 8 orang kru kapal yang berusia dalam lingkungan 31 tahun hingga 43 tahun. Kesemua mereka lelaki warganegara Indonesia,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasmi APMM.

Nurul Hizam berkata, 2 orang kru kapal telah dibawa ke Jeti Maritim Sungai Pulai untuk diserahkan kepada Seksyen Siasatan, APMM Johor untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah seksyen 491B(1)(I) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952. Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,”ujarnya.

Pada masa yang sama, beliau menjelaskan pihaknya akan sentiasa meningkatkan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang maritim di perairan Negeri Johor dengan menggunakan segala sumber yang ada.

“APMM Johor tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang perairan negara,

“Sebarang kejadian kecemasan di laut, segera hubungi talian MERS 999 atau MRSC Johor Bahru di talian 07-221 9231, manakala aduan atau maklumat jenayah maritim salurkan kepada Pusat Operasi MN Johor di talian 07-219 9404,” tambahnya. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply