Home Semasa COVID-19: Kluster Kuarters dikesan di Sandakan, Sabah

COVID-19: Kluster Kuarters dikesan di Sandakan, Sabah

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 21 Sept – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu lagi kluster baharu pandemik COVID-19 di negara ini, iaitu Kluster Kuarters di Sandakan, Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Kuarters ini dikesan selepas hasil saringan yang dijalankan di sekitar Daerah Tongod susulan saringan COVID-19 mendapati seorang petugas kesihatan didapati positif ujian saringan RTK Antigen pada 4 September lalu.

“Beliau telah disaring sebagai saringan rujukan ke hospital. Namun, ujian pengesahan COVID-19 ke atas beliau (iaitu rt-PCR) didapati negatif,

“Saringan di sekitar Daerah Tongod yang bermula pada 6 September 2020 telah melibatkan masyarakat setempat termasuk petugas kesihatan Klinik Kesihatan tersebut. Sebanyak 5 kes positif COVID-19 telah dikenalpasti setakat ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kesemua 5 kes positif (iaitu kes ke-10,253 hingga ke-10,257) dalam kluster ini merupakan warganegara dan kesemua mereka tidak bergejala.

“Mereka telah dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan untuk rawatan,

“Setakat jam 12 tengah hari, hari ini, sejumlah 117 individu telah disaring dan serama 112 individu masih menunggu keputusan saringan tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut mengesahkan sebanyak 57 kes baharu jangkitan COVID-19 dilaporkan sehingga 12.00 tengah hari ini yang melibatkan 51 kes penularan tempatan dan 6 kes import.

“Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 10,276 kes. Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 751 kes,

“Kesemua mereka telah diasingkan dan telah diberi rawatan,” tambahnya.

Menurutnya, kes penularan tempatan paling tinggi dikesan di Sabah iaitu sebanyak 49 kes di mana, 14 kes daripadanya Kluster Pulau, Kluster Selamat (12 kes) dan Klsuter benteng Lahad Datu (5 kes).

“Manakala, 13 kes lagi dikesan di lain-lain daerah di Sabah,

“Satu kes juga dikesan melibatkan Kluster Sungai di Kedah dan 1 kes saringan pra pembedahan Hospital Kuala Lumpur yang melibatkan bukan warga negara,”tambahnya.

Dr Noor Hisham berkata, tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 130 kes. –airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply