KUALA LUMPUR, 16 Sept – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM menegaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah sebagai sebuah angkatan yang dipertanggungjawabkan untuk memelihara keamanan dan kedaulatan negara dari sebarang bentuk ancaman musuh.
Beliau berkata, ATM bukanlah satu ketumbukan yang inginkan peperangan dan sewenang-wenangnya menyerang negara lain.
Affendi berkata, pembangunan keupayaan amat penting terutamanya dalam mendepani persekitaran keselamatan yang tidak menentu serta keperluan meningkatkan pertahanan sebagai pertahanan masa hadapan yang kredibel seperti yang terdapat dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP).
“Mengimbau semula 4 teras keutamaan dalam Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera yang lalu, iaitu memperkasa aset ATM, memperkasa warga ATM yang cemerlang, mengukuhkan keupayaan ATM dalam Domain Siber serta menterjemahkan Kertas Putih Pertahanan,
“Kita seharusnya terus menanamkan di dalam jiwa berkenaan kepentingan merealisasikan teras keutamaan ini demi menjadikan kita semua sebagai ketumbukan pertahanan nasional yang holistik dan mampan,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari ATM ke-87 bertemakan ‘Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama’ di saluran TV1 terbitan Radio Televisyen Malaysia, hari ini.
Dalam menyambut ulang tahun ATM yang ke-87 hari ini, Affendi turut menyeru setiap lapisan masyarakat agar memperkuatkan semangat patriotik dan nasionalisme dengan menanam budaya sense of belonging dan sense of ownership di dalam sanubari masing-masing.
“Dengan pengukuhan semangat dan budaya ini, kesatuan antara rakyat dan warga ATM akan dapat dibentuk sekaligus berupaya menuju Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat, berdaulat dan makmur,
“Terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana menaruh kepercayaan kepada ATM dalam menggalas penuh tanggungjawab mempertahankan kedaulatan tanah air yang tercinta,” tambahnya.
Pada masa yang sama, beliau juga mengingatkan warga ATM untuk terus tekad menaburkan bakti dan terus kekal utuh sebagai barisan hadapan dalam mempertahankan kedaulatan negara yang tercinta.
“Saya mengucapkan selamat menyambut hari ATM ke-87. Teruskan memberi komitmen yang jitu tidak kira sama ada di darat, laut dan juga udara, atau di mana jua anda berada, terutamanya pada waktu ancaman wabak pandemik COVID-19 yang sedang melanda negara.
“Sesungguhnya, saya berbangga dengan anda semua sebagai wira-wira negara yang menjadi tunjang utama dalam mempertahankan maruah bangsa dan kedaulatan pertiwi yang kita sayangi ini,” ujarnya.-airtimes.my