Home Politik PRN 11 Sabah: Pertarungan 11 penjuru di DUN Bengkoka

PRN 11 Sabah: Pertarungan 11 penjuru di DUN Bengkoka

by M.Daim

KOTA KINABALU, 12 Sept – Pertembungan 11 calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bengkoka menjadi salah satu perkara menarik dalam Pilihan Raya Umum Sabah pada kali ini.

Kawasan ini merupakan antara 13 kawasan DUN yang telah ditambah melalui syor persempadanan baharu yang telah diluluskan pada Julai 2019.

Pertarungan di kawasan yang mempunyai 11,543 pengundi ini menyaksikan penglibatan 4 calon BEBAS yang akan bersaing dengan calon-calon lain dari Barisan Nasional (BN), PPRS, Parti Cinta Sabah (PCS), USNO, Gagasan, Parti Bersatu Sabah, dan UPKO.

Selain Bengkoka, kawasan DUN lain di negeri ini turut menyaksikan pertandingan pelbagai penjuru yang sudah pasti akan menyaksikan pertarungan sengit antara calon bertanding.

Seramai 10 orang calon bersaing untuk mewakili DUN Inanam yang sebelum ini dimenangi oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Pada 2018, calon PKR pada ketika itu, Kenny Chua telah menewaskan 5 calon lain dengan majoriti sebanyak 7,783 undi.

Beliau sebelum ini merupakan Timbalan Pengerusi PKR yang telah dipecat kerana didakwa menyokong Tan Sri Musa Aman untuk membentuk kerajaan baharu di Sabah. Usaha oleh bekas Ketua Menteri Sabah itu ternyata gagal apabila DUN Sabah dibubarkan pada 30 Julai lalu.

Dalam pilihanraya pada kali ini, Kenny Chua bertanding sebagai calon bebas untuk mempertahankan kerusinya. PKR pula diwakili oleh bekas jurutera kanan elektrik yang pernah bertugas di syarikat pembekal tenaga elektrik, Sabah Electricity Sdn. Bhd.

Perebutan kerusi Inanam turut melibatkan beberapa nama besar seperti Ketua Wanita Parti Cinta Sabah, Regina Lim; Ahli Majlis Tertinggi Parti Bersatu Sabah, Datuk OKK William Majimbun; Presiden Parti Liberal Demokratik, Tan Sri Chong Kah Kiat; dan bekas Timbalan MCA Sabah, Datuk Francis Goh yang kini bertanding di atas tiket Parti Gagasan Rakyat Sabah.

Parti USNO pula mencalonkan Mohd Hardy Abdullah manakala Terence Tsen mewakili Parti Anak Negeri. Selain Kenny Chua, dua calon bebas turut bertanding di kerusi ini iaitu Achmad Noorasyrul Noortaip dan George Ngui.

Usukan, Sulaman dan Sulabayan kawasan yang hanya menyaksikan pertandingan 3 penjuru, bilangan pertembungan paling sedikit dalam PRN kali ini.

Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak bertanding di DUN Usukan bagi mempertahankan kerusi BN. Beliau berhadapan dengan Abdul Bakrin Mohd Yusof daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan Datu Mohd Nazaruddin Datu Tigabelas (PCS).

Pengerusi Pengerusi Parti Bersatu Pribumi Malaysia (BERSATU) Datuk Seri Hajiji Mohd Noor akan mempertahankan kerusinya di DUN Sulaman. Kerusi ini turut ditandingi oleh PCS yang diwakili oleh Rekan Hussien. WARISAN pula telah mencalonkan oleh Datuk Aliasgar Basri dalam persaingan 3 penjuru di kerusi ini.

Di DUN Sulabayan, calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Jaujan Sambakong bertanding untuk mempertahankan kerusinya. beliau dicabar oleh Abdul Manan Indanan dari BN dan Alahuddin Mohd Sarah dari PCS.

PRN Sabah ke-16 pada kali ini menyaksikan persaingan daripada 15 parti termasuk Bebas. Parti yang diketuai oleh bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, PCS, bertanding kesemua 73 kerusi DUN.

PCS akan berdepan calon dari Warisan Plus dan Gabungan Rakyat Sabah.

Warisan Plus adalah terdiri daripada WARISAN, Pakatan Harapan dan UPKO.

Gabungan Rakyat Sabah pula baharu dibentuk selepas pengumuman oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini. Gabungan ini adalah terdiri daripada Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan PBS.

Namun begitu, gabungan ini hanya akan digunakan secara rasmi sekiranya mereka berjaya membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Hari mengundi PRN Sabah akan berlangsung pada 26 September ini. Pengundian awal akan dijalnkan pada 22 September. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply