KUALA LUMPUR, 11 Sept – Parti Islam Se Malaysia (PAS) menghormati sikap rakan-rakan di Sabah yang berhasrat untuk bertanding di keseluruhan 73 kerusi dalam Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Sabah (PRN Sabah), setelah usaha rundingan dimuktamadkan.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS mengambil pendirian untuk memberikan laluan kepada rakan-rakan bagi memastikan pertandingan dua penjuru dapat diserlahkan dalam PRN Sabah.
“Pendirian ini demi memelihara permuafakatan yang terjalin serta mengambil kira implikasi politik di masa mendatang,
“Keutamaan PAS adalah persiapan untuk menghadapi PRU-15 yang dijangka dalam masa terdekat, di samping komitmen untuk mengukuhkan kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN),
“Sokongan jentera dan ahli-ahli PAS dalam PRN Sabah tetap akan digerakkan mengikut keperluan di peringkat setempat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah yang juga Pengerusi UMNO Negeri, Datuk Seri Bung Moktar Radin telah mengumumkan BN akan bertanding di 31 kerusi DUN.
Manakala Ketua Badan Pimpinan Parti Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Hajiji Noor pula mengumumkan PN Sabah yang diwakili PPBM, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) akan bertanding 29 daripada 73 kerusi. – airtimes.my