Home Pertahanan dan Keselamatan 266 lagi PATI Indonesia diusir ke negara asal

266 lagi PATI Indonesia diusir ke negara asal

by Nurulhuda

TAWAU, 11 Sept – Seramai 266 pendatang izin tanpa izin (PATI) warga Indonesia diusir pulang ke negara asal melalui Pelabuhan Tawau ke Nunukan, Indonesia, semalam.

Pengusiran itu merupakan pengusiran siri ke-26 melalui jalan laut pada tahun 2020 yang melibatkan PATI Indonesia dan Filipina.

Pengarah Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Sabah, Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, pengusiran itu juga menjadikan jumlah keseluruhan PATI yang diusir keluar dari Sabah sepanjang tahun ini seramai 6,421 orang,

“Ia termasuk 221 orang ke lain-lain negara yang diusir melalui udara (Pakistan, China, Vietnam, Hong Kong, Korea Selatan dan lain-lain) serta telah diuruskan oleh Jabatan Imigresen Malaysia Sabah,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasmi MKN Negeri Sabah.

Beliau berkata, semua tahanan dipastikan berada dalam keadaan fit to travel sebelum diusir sebagai usaha memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

“Tahanan yang didapati sakit akan menjalani rawatan sewajarnya terlebih dahulu,

“Semua tahanan juga menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum diusir dan penjagaan kebersihan diamalkan sepanjang proses pengusiran berlangsung,” tambahnya.

Sitti Saleha turut mengingatkan masyarakat agar memberi kerjasama sepenuhnya kepada pasukan keselamatan dalam usaha membendung penularan COVID-19.

“Masyarakat dinasihatkan agar tidak bersekongkol membawa PATI masuk ke negara ini dan tidak menyembunyikan sebarang maklumat mengenai kemasukan PATI masuk ke sempadan negara,

“Kewujudan Kluster Benteng yang berpunca daripada penahanan PATI yang cuba menceroboh masuk ke Sabah harus menjadi pengajaran dan gambaran jelas kepada semua pihak bahawa kemasukan PATI tidak boleh dipandang ringan,

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan pencerobohan PATI tidak perlu takut untuk segera menghubungi National Task Force di talian 011-62511223,” ujarnya. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply