Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Kematian Prebet Abdul Aziz: Tentera Darat serah sepenuhnya kepada polis – Zamrose

Kematian Prebet Abdul Aziz: Tentera Darat serah sepenuhnya kepada polis – Zamrose

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain menjelaskan, Tentera Darat Malaysia (TDM) tidak akan mengganggu siasatan yang dijalankan oleh pihak polis berhubung kes kematian anggotanya Prebet Abdul Aziz Aznam pada Ahad lalu.

Beliau menegaskan, sehingga hari ini tiada lagi anggota TDM yang dipanggil oleh pihak polis berkaitan kes tersebut.

“Apabila melibatkan kematian, dan didakwa mempunyai unsur-unsur lain, kami (TDM) tidak akan mencampuri urusan penyiasatan dan serah sepenuhnya kepada pihak polis,

“Bila keluarga arwah buat report polis, kita pun ada buat report polis supaya kita tidak mahu keluarga arwah beranggapan kita (TDM) pilih kasih,

“Kita akan tunggu dimana silapnya, sekiranya pihak polis dapat menjumpai bukti sebarang ketidakadilan, mereka yang bertanggungawajab akan menerima hukuman. Biar pihak polis yang menyiasat serta menentukan,

“Kami (TDM) tidak akan bertindak sehingga pihak polis selesai menjalankan siasatan dan akan memberi bekerjasama penuh kepada polis sekiranya diperlukan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian dan Penyerahan Kereta Peronda Kor Polis Tentera Diraja (KPTD), di Kem Genting Klang, hari ini.

Pada 6 September lalu, Abdul Aziz Aznam dari unit Batalion Kesepuluh Rejimen Askar Melayu (10 RAMD), Kem Majidee, Johor telah disahkan meninggal dunia akibat terjatuh dari tingakt 3 bagunan Bilik Penginapan di kem berkenaan.

Arwah yang sebelum ini Tidak Hadir Tanpa Cuti (THTC) telah melapor ke Balai Pengawal 10 RAMD pada 28 Ogos 2020.

Pada 28 Ogos 2020 lebih kurang jam 11.50 malam, anggota telah didapati jatuh dari aras 3 bangunan Bilik Penginapan tersebut dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSNI), Johor Bahru untuk menerima rawatan.

Abdul Aziz Aznam disahkan meninggal dunia pada jam 2.30 petang, 6 September 2020.

Artikel berkaitan: Anggota tentera mati terjun bangunan

Artikel berkaitan: Askar Melayu terjun bangunan: Tiada unsur jenayah dan buli

Terdahulu, Panglima Tentera Darat telah menyerahkan sebanyak 40 buah kereta peronda jenis Honda Civic 1.8s secara sewaan daripada Syarikat SPANCO Sdn Bhd kepada Pengerusi KPTD, Brigedier Jeneral Datuk Mislan Anuar sebagai organisasi penguatkuasaan yang penting dalam TDM.

“Perolehan kereta peronda ini adalah bertepatan dengan keperluan semasa TDM dan sebagai salah satu usaha TDM bagi membantu memperkasa keupayaan dan mempertingkatkan keberkesanan pengoperasian KPTD,

“Perolehan aset ini mampu membentuk KPTD sebagai organisasi penguatkuasa yang sentiasa relevan, unggul, disegani dan dihormati,

“TDM mahu keberhasilan daripada penggunaan kereta peronda ini memberi impak yang positif kepada TDM khususnya dari aspek pengekalan tahap disiplin serta pematuhan kepada undang-undang dan peraturan,” kata Zamrose.

Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah; Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohammad Ab Rahman, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Zakaria Mohd Yadi, wakil SPANCO Sdn Bhd serta pegawai dan warga KPTD. –airtimes.my

Galeri gambar :

Related Articles

Leave a Reply